Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SBF lancar inisiatif bantu persatuan, dewan perdagangan tingkat keupayaan

Jan 22, 2025 | 5:42 PM
Ketua pegawai perkongsian strategik Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Cik Annie Wang.
Ketua pegawai perkongsian strategik Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Cik Annie Wang. - Foto BT

Persatuan dan dewan perdagangan (TAC) mesti mengubah pertubuhan mereka untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) Singapura di tengah-tengah perubahan landskap perniagaan, kata Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Untuk meningkatkan keupayaan TAC, SBF telah melancarkan pelan hala tuju perubahan sektor yang akan menyaksikan hampir 20 inisiatif baru dilancarkan berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Inisiatif baru di bawah pelan hala tuju itu terletak di bawah empat strategi utama: mengukuhkan cadangan nilai sektor TAC; meningkatkan modal insan; menambah baik piawai tadbir urus; dan meningkatkan kecemerlangan operasi.

Ini termasuk latihan kepimpinan dan program pensijilan profesional, hingga kepada perkhidmatan nasihat yang disesuaikan; panduan yang mengandungi amalan terbaik untuk diterima pakai; saluran rangkaian antara TAC; dan peningkatan kepada program sedia ada dalam pendigitalan.

Cik Annie Wang, ketua pegawai perkongsian strategik SBF, memberitahu The Business Times (BT): “Kami perlu menyediakan semua TAC kami agar sedia bagi masa hadapan, untuk membantu syarikat ahli kami berubah.”

Sebagai dewan perniagaan utama, SBF memperjuangkan kepentingan lebih 300 TAC tempatan dan asing di Singapura.

Pelan hala tuju itu dirangka selepas SBF melibatkan 68 pemimpin TAC dan kakitangan urus setia daripada 42 TAC pada 2024 untuk menilai keadaan sektor TAC.

Ia dibangunkan bersama lebih 40 TAC, dengan sokongan daripada Enterprise Singapore.

Bercakap pada pelancaran pelan hala tuju tersebut pada Sidang Puncak TAC sulung pada 22 Januari, Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata TAC memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada “ketangkasan dan penyelarasan” Singapura.

Ini berlaku di tengah-tengah landskap sejagat yang semakin kompleks dengan peralihan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan keperluan untuk kemampanan yang membentuk semula cara perusahaan beroperasi.

Satu keutamaan utama di bawah pelan hala tuju itu ialah meningkatkan kecemerlangan operasi.

Cik Wang menyatakan bahawa beberapa TAC yang lebih kecil tidak mempunyai prosedur operasi standard dan amalan terbaik perusahaan.

Manakala, ada yang telah tersalah letak rekod sejarah mereka semasa peralihan pasukan.

Oleh itu, SBF melihat keperluan membangunkan lebih banyak sumber dikongsi untuk membantu TAC mengukuhkan keupayaan pengurusan dan tadbir urus mereka, di samping mengurangkan risiko.

Satu lagi bidang tumpuan untuk SBF ialah pembangunan modal insan.

Persatuan itu akan memperkenalkan program pensijilan berstruktur untuk menambah baik dan mengiktiraf kecekapan profesional TAC di peringkat individu dan pertubuhan.

Langkah ini akan membantu untuk menjadikan sektor TAC Singapura profesional dan menetapkan piawaian merentasi tenaga kerja, kata Cik Wang, sambil menyatakan bahawa program pensijilan serupa sudah wujud untuk sektor TAC di pasaran lain di luar negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg