Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SBS Transit akan manfaatkan AI untuk periksa tayar bas jelang akhir 2025

Sep 15, 2025 | 12:00 PM
SBS Transit, Sistem Pengurusan Tayar berautomasi, depoh bas
Syarikat pengendali pengangkutan awam, SBS Transit, akan mengguna pakai Sistem Pengurusan Tayar berautomasi yang baru di dua depoh bas kendaliannya menjelang akhir 2025. Sebuah konsep uji sudah dipasang di Depoh Bas Bedok North. - Foto ST

Syarikat pengendali pengangkutan awam, SBS Transit, akan mengguna pakai Sistem Pengurusan Tayar berautomasi yang baru di dua depoh bas kendaliannya menjelang akhir 2025.

Sistem tersebut, yang akan dilaksanakan di Depoh Bas Seletar dan Depoh Bas Ulu Pandan, memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam pemeriksaan penilaian tayar, kata Ketua Kejuruteraan Bas SBS Transit, Encik Chia Hee Chen.

Dalam sesi penyampaiannya sempena lawatan pegawai kanan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan anggota gerakan buruh ke Depoh Bas Seletar baru-baru ini, beliau berkata konsep sistem itu telah dibangunkan sejak 2024 dan diuji di Depoh Bas Bedok North.

“Kami telah membangunkan Sistem Pengurusan Tayar yang dikuasakan AI bagi mengautomasikan semua pemeriksaan tayar. Ia direka untuk disepadukan dengan operasi biasa,” ujarnya.

Berbeza dengan kaedah pemeriksaan sebelum ini yang memerlukan teknisyen memeriksa dan menyenggara kesemua enam hingga lapan roda bergantung pada jenis bas, sistem baru itu merangkumi penggunaan kamera dan alat pengesanan sebagai satu unit, kata Encik Chia.

Peralatan sedemikian mengesan keadaan dan keganjilan yang ada pada tayar sebelum membandingkannya dalam pangkalan data yang dikuasakan teknologi awan, tambahnya.

Hasil pengesanan tersebut kemudiannya dihantar kepada teknisyen melalui portal dalam peranti, yang kemudian dapat mengenal pasti tayar tertentu yang perlu ditukar atau diberi perhatian.

Pegawai Sokongan Pengurusan SBS Transit, Encik Rajeshpal Singh, berkata sistem pengurusan tersebut membantu teknisyen mengutamakan bas-bas yang memerlukan kerja-kerja segera.

“Bergantung pada jenis bas, kaedah manual pemeriksaan tayar boleh mengambil masa 30 hingga 40 minit dan kami perlu periksa beberapa aspek.

“Dengan sistem baru ini, hanya beberapa minit diambil untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan sebelum keputusan dihantar melalui portal.

“Saya hanya perlu mengakses portal dan mengutamakan apa yang perlu diberi perhatian... Jadi pelbagai aspek kejuruteraan penyelenggaraan boleh dilakukan pada bas berkenaan jika kaedah manual tidak perlu lagi digunakan,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg