Pekerjaan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanjawan 2025: Usaha bantu segenap lapisan pekerja dialu-alu

Sektor tenaga kerja dapat tumpuan, pastikan pekerja gaji rendah dan warga emas raih manfaat
Feb 19, 2025 | 5:54 PM
Pekerja bergaji rendah dan pekerja warga emas tidak ketinggalan dan dapat meraih manfaat daripada inisiatif yang dibentangkan semasa Belanjawan 2025.
Pekerja bergaji rendah dan pekerja warga emas tidak ketinggalan dan dapat meraih manfaat daripada inisiatif yang dibentangkan semasa Belanjawan 2025. - Foto ST

Golongan pekerja mendapat tumpuan besar dalam Belanjawan 2025 dengan pelbagai sokongan dan inisiatif disediakan bagi mereka.

Bahkan fokus turut diberikan kepada lebih banyak jenis pekerja, memastikan golongan seperti pekerja bergaji rendah dan pekerja warga emas tidak ketinggalan dan dapat meraih manfaat daripada inisiatif yang dibentangkan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 yang dikongsi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari.

Encik Ng menganggap langkah tersebut sebagai “menyokong pekerja mengharungi cabaran masa depan dan mencipta lebih banyak peluang sedang Singapura memasuki fasa pertumbuhan seterusnya”.

“Antara inisiatif utama, tokokan dana Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC merupakan rangsangan besar, membolehkan lebih banyak syarikat mempercepatkan transformasi tenaga kerja sambil membantu pekerja memperoleh gaji, pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik.

“Selain Geran CTC, Belanjawan 2025 juga membawa berita positif bagi pekerja warga emas dan pekerja bergaji rendah, kumpulan yang telah kami perjuangkan secara tekal,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa NTUC akan terus bekerjasama rapat dengan pemerintah dan perniagaan untuk mendorong transformasi tenaga kerja dan melindungi kepentingan pekerja.

Semasa membentangkan Belanjawan 2025, Encik Wong turut mengumumkan bahawa pemerintah akan memberi suntikan dana lagi $200 juta bagi Geran CTC untuk membantu lebih banyak syarikat menjalani transformasi serta meningkatkan kemahiran pekerja mereka.

Geran CTC juga akan diperluas bagi menyokong latihan yang dipimpin majikan, dan membawa kelayakan formal atau sijil bagi pekerja.

Presiden Persatuan Peruncit Singapura (SRA), Encik Ernie Koh turut mengalu-alukan usaha pemerintah dalam sokongannya terhadap transformasi tenaga kerja.

Antaranya, Kredit Perusahaan SkillsFuture (SFEC) yang direka semula dengan syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga pekerja penduduk Singapura, akan menerima $10,000 dalam bentuk kredit, bermula separuh kedua 2026 dan boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun.

“Pelanjutan SFEC selepas Jun 2025, tambahan nilai dan penambahbaikan kepada pentadbiran akan membantu meringankan beban pentadbiran dan menggalakkan syarikat menggunakan SFEC mereka untuk peningkatan tenaga kerja dan transformasi perniagaan,” ujar Encik Koh.

Beliau turut menyatakan pelaburan dalam pembelajaran sepanjang hayat akan membantu perniagaan menyokong transformasi tenaga kerja.

Sebagai sebahagian Belanjawan 2025, Program Peningkatan SkillsFuture bagi warga Singapura berusia 40 tahun ke atas akan dipertingkat, dengan elaun tetap sebanyak $300 sebulan.

Ia diberikan bagi membiayai perbelanjaan pengajian mereka yang mengikuti kursus latihan sambilan terpilih.

Mengulas tentang penambahbaikan itu, Encik Koh berkata:

“Dalam pasaran buruh yang sengit ini, pelaburan dalam pembelajaran sepanjang hayat akan membantu perusahaan menyokong transformasi tenaga kerja mereka.”

Sementara itu, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, dalam hantarannya di Facebook melahirkan kegembiraan bahawa Belanjawan 2025 memperkenalkan “sokongan lebih kukuh bagi pekerja bergaji rendah serta keluarga mereka”.

“Komitmen berterusan pemerintah untuk meningkatkan pekerja bergaji rendah terbukti melalui Skim Kredit Gaji Progresif yang dipertingkat, yang menawarkan sokongan gaji peralihan kepada majikan.

“Selain itu, peluasan Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja (WSS) akan menyediakan lebih banyak peluang kemahiran semula dan peningkatan kemahiran buat pekerja bergaji rendah melalui kursus lebih panjang.

“Inisiatif ini penting dalam memastikan gaji yang lebih baik dan peluang kerja yang lebih besar bagi pekerja bergaji rendah,” ujarnya.

“Antara inisiatif utama, tokokan dana Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC merupakan rangsangan besar, membolehkan lebih banyak syarikat mempercepatkan transformasi tenaga kerja sambil membantu pekerja memperoleh gaji, pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik. Selain Geran CTC, Belanjawan 2025 juga membawa berita positif bagi pekerja warga emas dan pekerja bergaji rendah, kumpulan yang telah kami perjuangkan secara tekal.”
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg