Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeatrium hentikan 2% pekerja di S’pura susulan penstrukturan semula
Langkah diambil ketika syarikat ubah sistem, proses sejajar dengan keperluan perniagaan masa depan
Seatrium hentikan 2% pekerja di S’pura susulan penstrukturan semula
Seatrium akan memberhentikan seramai kira-kira 220 orang, atau sekitar 2 peratus, daripada tenaga kerjanya di Singapura sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menyelaraskan operasi sejagat dan menyatukan rangkaian limbungan kapalnya, umum syarikat itu pada 24 November.
Langkah itu diambil ketika kumpulan luar pesisir, marin dan tenaga yang tersenarai di Singapura itu mengubah sistem dan prosesnya sejajar dengan keperluan perniagaan masa depan.
Ini termasuk mempercepat usaha mengoptimumkan kemudahan mereka di Singapura – yang mempunyai lima limbungan.
Di peringkat sejagat, Seatrium telah mengurangkan jumlah limbungannya daripada 15 pada 2023 kepada 11 ketika ini.
Syarikat itu telah mengecilkan operasi limbungannya di Admiralty secara berperingkat dan akan memulangkannya kepada pemerintah Singapura seperti yang dirancang pada 2028.
Limbungannya di Tuas Boulevard akan kekal sebagai limbungan utama, manakala tiga lagi di Benoi, Pioneer dan Tuas akan menumpukan semula kepada tugas yang menyokong projek sejagat kumpulan itu, seperti pembaikan dan kerja naik taraf bernilai tinggi.
Ini merupakan langkah penstrukturan semula tenaga kerja pertama yang dilaksanakan Seatrium sejak ia ditubuhkan menerusi penggabungan Sembcorp Marine dan Keppel Offshore & Marine pada 2023.
Jumlah tenaga kerja sejagatnya pada Ogos 2025 ialah kira-kira 24,000 orang.
Seatrium berkata sebelum langkah pemberhentian kerja itu dilaksanakan, ia telah meneliti peluang penempatan semula, inisiatif peningkatan kemahiran tenaga kerja serta langkah lain bagi memanfaatkan sepenuhnya tenaga kerjanya, sekiranya sesuai.
Namun, “dengan perubahan pantas dalam persekitaran operasi serta penyusunan semula rangkaian operasi, beberapa peranan tidak lagi sejajar dengan model operasi dan struktur organisasi kumpulan”, ujar kenyataan itu tanpa mendedahkan peranan yang terjejas.
Ketua Eksekutif Seatrium, Encik Chris Ong, berkata langkah itu bukan bertujuan untuk mengecilkan operasi atau sekadar mengurangkan kos.
“Kami sedang memperkukuh semula kedudukan dan mempersiapkan Seatrium untuk merebut peluang baharu, dengan memastikan kami mempunyai keupayaan, kemahiran dan model operasi yang tepat untuk bersaing dalam industri yang berkembang pesat serta bagi menyokong cita-cita kami.
“Walaupun keputusan ini sukar dan peralihannya tidak mudah, saya yakin kecekalan Seatrium yang terbukti sebelum ini akan memastikan kami berupaya bangkit dengan lebih kuat,” katanya.
Kumpulan itu berkata kesatuan sekerjanya yang baharu ditubuhkan, Kesatuan Pekerja Seatrium, telah dimaklumkan lebih awal mengenai langkah tersebut dan telah berusaha memastikan pekerja terjejas dilayan secara adil menerusi pakej pemberhentian kerja yang selaras dengan garis panduan perikatan tiga pihak.
Pasukan Petugas bagi Pemberhentian Kerja Bertanggungjawab dan Bantuan Fasilitasi Pekerjaan dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Seatrium dan kesatuan sekerja syarikat itu bagi menyokong pekerja terjejas.
Ia berkata syarikat itu juga sedang menyokong usaha penempatan semula dalaman serta bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan penyedia perkhidmatan peralihan kerjaya untuk membantu pekerja terjejas, termasuk dalam pemadanan pekerjaan dan bimbingan kerjaya.