Topik diikuti
Pergi ke BHkuGovTech hentikan 38 pekerja dalam fasa kedua penyusunan semula
GovTech hentikan 38 pekerja dalam fasa kedua penyusunan semula
Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) telah memberhentikan 38 pekerja dalam fasa kedua daripada tiga pusingan pemberhentian kerja, yang bertujuan untuk mengurangkan pergantungan kepada vendor dan membolehkan pasukan itu memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap produk mereka.
Dalam respons kepada pihak media pada 22 Oktober, GovTech menyatakan bahawa 38 jawatan yang terjejas itu sebahagian besarnya berkait dengan kaedah penyampaian projek secara tradisional.
Ia juga turut meneliti pekerja-pekerja lain.
“Susulan semakan tenaga kerja, 106 pegawai akan kekal dalam jawatan semasa mereka, manakala 106 pegawai lagi layak menyertai laluan peralihan jawatan dan program perantisan untuk beralih kepada peranan baharu,” jelas GovTech.
Agensi itu turut menambah bahawa mereka yang mengikuti program perantisan akan terus diberikan sokongan sepanjang proses peralihan tersebut.
GovTech menyatakan bahawa ia telah mengutamakan usaha untuk mengekalkan, melatih semula, dan menempatkan semula pegawainya di mana-mana yang mungkin.
Fasa pertama pemberhentian kerja bermula pada Julai, yang melibatkan 93 orang daripada jumlah keseluruhan 3,900 kakitangannya.
Agensi itu menjangkakan sejumlah 7 hingga 9 peratus daripada tenaga kerjanya akan terjejas dalam tempoh dua tahun akan datang, termasuk bagi fasa ketiga.
GovTech menyatakan bahawa ia akan terus bekerjasama dengan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA), serta Gabungan Kesatuan Pekerja Badan Berkanun (Ausbe) untuk menyediakan bimbingan kerjaya, pemadanan pekerjaan, dan bantuan penempatan.
Pada Julai, agensi itu memaklumkan bahawa kakitangan yang diberhentikan akan menerima bayaran bersamaan satu bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan (dengan had maksimum 25 tahun).
Mereka juga akan diberi bayaran ex-gratia (pemberian yang bukan diwajibkan di sisi undang-undang) selama tiga bulan; serta gaji dan faedah sepanjang tempoh notis dan penyerahan tugas selama enam minggu.
Menjelaskan keperluan bagi perubahan dalam GovTech, pengerusi agensi tersebut, Encik Chng Kai Fong, menyatakan pada masa itu bahawa sistem-sistem kritikal semakin memerlukan keupayaan dalaman, supaya agensi berkenaan dapat bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan pantas terhadap keperluan negara.
Beliau berkata pembangunan teknologi moden menuntut kawalan dan ketangkasan yang jauh lebih tinggi, terutamanya memandangkan dunia kini semakin beralih ke arah pendigitalan, manakala keperluan bagi infrastruktur digital pemerintah yang kritikal pula telah “meningkat dengan ketara”.
“Jika dibiarkan tanpa perubahan, sistem legasi kita akan menjadi lebih sukar untuk dilindungi, lebih sukar untuk diubah, dan lebih terdedah kepada kegagalan,” tambah beliau.
Menurut Encik Chng, GovTech memerlukan individu yang mampu mentakrifkan masalah, merangka seni bina sistem, membuat keputusan yang tepat sama ada untuk membangunkan sendiri atau membeli penyelesaian, melindungi sistem, serta menambah baik perkhidmatan kritikal setiap hari.
“Vendor akan kekal sebagai rakan kongsi penting, namun tanggungjawab penuh terhadap sistem teras kita kini terletak di tangan kita sendiri.”
Beliau memberikan contoh perkhidmatan yang mencerminkan cara kerja ini, seperti Singpass, aplikasi ‘Parents Gateway’, dan baucar CDC.
“Sistem-sistem ini tidak boleh sekadar ditetapkan spesifikasinya sekali, diserahkan kepada vendor, dan kemudian dianggap selesai.
“Pasukan yang terlibat perlu membangunkan, mengendalikan, melindungi, dan terus menambah baik sistem tersebut, dengan memikul tanggungjawab sepenuhnya,” kata Encik Chng.
Beliau menyatakan bahawa agensi itu menjangka akan menambah bilangan kakitangan menjelang akhir proses ini.
“Kami memerlukan lebih ramai jurutera perisian, pengurus produk, pereka bentuk, pakar data, dan profesional keselamatan siber.”
Semakan oleh The Straits Times pada 22 Oktober mendapati terdapat kira-kira 270 kekosongan jawatan yang disenaraikan oleh GovTech di Careers@Gov, iaitu portal pekerjaan bagi mereka yang ingin menyertai perkhidmatan awam.
Jawatan-jawatan yang disenaraikan oleh agensi tersebut termasuk jurutera perisian, pengurus produk, pakar operasi produk, saintis dan jurutera data, serta pereka bentuk.