Skim baru yang dibiayai pemerintah, Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit), menawarkan “peluang latihan bermutu dalam bilangan terhad”, berbeza daripada skim yang diperkenalkan semasa Covid-19 yang lebih menekankan kuantiti, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Beliau menambah bahawa langkah mengehadkan bilangan itu “dapat memastikan mutu latihan terpelihara dan pada masa yang sama mengurangkan risiko menjejas peluang pekerjaan sepenuh masa”.
Skim Grit, yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan, menyediakan 800 tempat pada peringkat awal.
Di Parlimen pada 23 September, Dr Tan berkata bilangan itu akan dibahagikan kepada 500 peranan dalam sektor privet dan 300 dalam sektor awam.
“Kami bersedia menambah bilangan latihan dan melanjutkan program ini jika keadaan ekonomi merosot, atau jika terdapat permintaan untuk lebih banyak slot latihan menyusuli hasil positif yang dicapai siswazah dan majikan,” kata Dr Tan.
Beliau menekankan bahawa skim Grit berbeza daripada Program Pelatih SGUnited (SGUT) yang diperkenalkan semasa Covid-19 kerana konteks ekonomi ketika itu juga berbeza.
Dilancarkan pada 2020 ketika penularan pandemik berada di puncak, SGUT “tertumpu kepada langkah meningkatkan keupayaan untuk mengurangkan kadar pengangguran siswazah semasa krisis ekonomi”.
Hampir 90 peratus peserta memperoleh pekerjaan tetap dalam tempoh enam bulan selepas menyelesaikan program tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Dr Tan, gaji permulaan median bagi lulusan ijazah yang mengikuti SGUT ialah kira-kira $3,400 – rendah sedikit daripada median $3,700 yang direkodkan dalam Tinjauan Pekerjaan Siswazah Bersama Universiti Autonomi 2020.
Namun, beliau menambah bahawa angka itu tidak boleh dibandingkan secara terus kerana demografi kedua-dua kumpulan berbeza.
Sebaliknya, Grit menawarkan peluang latihan bermutu dalam bilangan terhad “bagi memberi sokongan kepada siswazah”, kata menteri itu.
Beliau mengakui bahawa walaupun kadar pekerjaan siswazah telah bertambah baik pada 2025, siswazah baru mungkin berasa bimbang akibat persaingan dan ketidaktentuan ekonomi.
Menjawab soalan tambahan mengenai perbezaan Grit dengan latihan amali, terutama latihan yang turut disokong oleh program pemerintah sedia ada, Dr Tan berkata program seperti Grit diwujudkan “dengan sangat tepat dan berbeza mengikut keperluan tertentu”, manakala “program lain dijalankan secara serentak”.
“(Grit) bertujuan menyokong siswazah baru di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi semasa,” jelas Dr Tan.
Dr Tan menjawab sejumlah 19 soalan mengenai pekerjaan siswazah dan skim Grit daripada Anggota Parlimen (AP).
Ini termasuk soalan tentang bagaimana Grit dapat menyokong peserta untuk mendapatkan pekerjaan sepenuh masa.
Mengenai sokongan terhadap pekerjaan sepenuh masa bagi peserta, Dr Tan berkata Grit akan memastikan latihan bermutu tinggi yang “meningkatkan daya kerja siswazah”.
Peserta juga berpeluang menjalani latihan di syarikat terkemuka.
Syarikat-syarikat ini datang daripada sektor berkembang yang mempunyai rekod cemerlang dalam pengambilan dan latihan pekerja tempatan, serta komited untuk menawarkan pelbagai jenis peranan, tambah Dr Tan.
Tempoh Grit dihadkan kepada enam bulan bagi menggalak majikan mempertimbangkan peserta untuk jawatan sepenuh masa selepas itu, tambah beliau.
Elaun latihan juga dihadkan kepada $2,400 – kira-kira separuh daripada gaji permulaan median graduan baru universiti autonomi dan serupa dengan elaun SGUT – bagi memastikan peserta memberi keutamaan kepada jawatan sepenuh masa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg