Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan memberi tumpuan kepada empat teras utama bagi penggal pemerintah semasa, termasuk memperkasa tenaga kerja setempat, berlatarbelakangkan landskap yang sedang diubah trend sejagat dan kecerdasan buatan (AI).
Ini selain membolehkan laluan kerjaya berbilang peringkat lebih panjang, dengan kaedah pekerjaan lebih fleksibel bagi menyokong tempoh kerjaya lebih panjang, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Dua teras utama lain ialah menyokong perniagaan untuk mengembangkan bakat dan kekal berdaya saing, serta membina tempat kerja yang lebih terangkum.
Perkara ini diumumkan Dr Tan dalam adendum (kenyataan tambahan) menyusuli Amanat Presiden Tharman Shanmugaratnam pada pembukaan penggal Parlimen ke-15 pada 5 September.
Adendum itu dikongsi dengan media oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 16 September.
Dr Tan berkata: “Para pekerja (kini) meniti jangka hayat lebih lama, dengan aspirasi kerjaya yang lebih berbeza-beza dan keperluan berubah merentasi peringkat kehidupan.
“Tempat kerja kelak perlu menyokong pekerjaan yang dipacu teknologi dan kerjaya di pelbagai peringkat.
“Di tengah-tengah cabaran dan gangguan (yang berlaku kini), kita mesti membentuk masa hadapan pekerjaan secara kolektif yang membolehkan pertumbuhan, kepuasan dan laluan kerjaya yang berbeza untuk berjaya.”
Kenyataan tersebut dibuat sejajar dengan gesaan Tuan Presiden bagi memastikan sesiapa sahaja yang menyumbang kepada masyarakat “dihormati dan dapat membina kehidupan yang baik”.
“Dari aspek pekerjaan, kami akan meningkatkan latihan dan laluan kerjaya agar warga Singapura boleh mencatatkan kecemerlangan dan diiktiraf bagi pencapaian mereka merentasi pelbagai kemahiran dan kerjaya,” kata Tuan Presiden.
Sehubungan itu, Dr Tan berkata MOM akan membantu tenaga kerja di sini meningkatkan daya celik AI dan memanfaatkan AI melalui Strategi AI Nasional 2.0 yang dilancarkan pada 2023 dan Semakan Strategi Ekonomi.
Pada Ogos, Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, mengumumkan hasrat pemerintah menyemak strategi ekonomi Singapura.
Pengumuman itu turut menyaksikan pembentukan lima jawatankuasa baru bagi menetapkan hala tuju jangka panjang ekonomi negara – termasuk dalam bidang daya saing sejagat, teknologi dan inovasi, keusahawanan, modal insan, serta mengendalikan kesan penyusunan semula – dengan Dr Tan merupakan salah seorang anggota SERT.
Beliau berkata MOM akan memulakan inisiatif Kesihatan Kerjaya SG bagi membantu warga Singapura menempuhi pasaran pekerjaan yang pesat berubah.
Kementerian itu juga telah melancarkan Pakatan bagi Tindakan Memajukan Perkhidmatan Kerjaya dan Pekerjaan pada Julai untuk mencari penyelesaian inovatif bersama sektor swasta bagi memperkasa tenaga kerja agar ia bersedia untuk masa hadapan.
“Kami akan mengembangkan ekosistem yang lebih menarik bagi panduan dan latihan kerjaya serta kemudahan pekerjaan bagi menyokong tenaga kerja yang pelbagai,” ujarnya, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi.
Berkenaan sokongan bagi tempoh kerjaya lebih panjang, Dr Tan berkata MOM akan memperkukuhkan sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF) agar pekerja yang menyumbang kepada akaun CPF mereka secara konsisten masih dapat memenuhi keperluan asas tatkala mereka meniti hari-hari senja.
Ini termasuk meningkatkan Jumlah Persaraan Asas bagi kohort masa hadapan supaya warga Singapura dapat mengetepikan lebih banyak simpanan bagi persaraan, ujarnya.
“Pada masa yang sama, kami juga akan terus memberikan bantuan kepada mereka yang mungkin tidak dapat mengetepikan simpanan mencukupi – melalui skim seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja, Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan dan Skim Ihsan Senja (Silver Support),” tambah beliau.
Ini sedang lebih ramai Singapura hidup dan bekerja pada usia lebih tua, dengan sekitar 1 dalam 5 warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas pada 2025.
Selain itu, Dr Tan berkata MOM komited untuk menyokong perniagaan kembangkan bakat dan kekal berdaya saing melalui tiga teras, merangkumi pencungkilan bakat baru, mencipta pembangunan dan peluang perkembangan dalam syarikat bagi mengekalkan bakat dan memperbaiki kerjaya sumber manusia.
Beliau menukil Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pembangunan Keupayaan Modal Insan sebagai contoh skim yang telah dilancarkan MOM bagi memperbaiki kerjaya sumber manusia.
“Daripada membuang pekerja, kami juga akan membantu perusahaan mentransformasikan pekerja mereka, dalam era automasi yang dikuasakan AI, melalui inisiatif seperti Pakej Transformasi Tenaga Kerja Perusahaan,” katanya.
Beliau juga berkata MOM akan menyokong warga Singapura mendapat pendedahan sejagat bagi pembangunan profesional dan memupuk kepimpinan masa hadapan.
Dr Tan turut menegaskan komitmen untuk membuat tempat kerja dan pertumbuhan agar ia lebih adil, selamat dan terangkum melalui Akta Keadilan di Tempat Kerja supaya pekerja dan mereka yang mencari kerja diberi layanan yang adil.
Kementeriannya juga akan mengemas kini Akta Pekerjaan bagi memastikan perlindungan yang memadai bagi kumpulan pekerja yang berbeza sealiran dengan trend tempat kerja dan teknologi, katanya.
Beliau berkata: “Pekerja platform kini dilindungi di bawah Akta Pekerja Platform, dan kumpulan tiga pihak juga telah disediakan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh pekerja platform.
“Dengan bentuk pekerjaan dan pengaturan kerja yang semakin pelbagai, kami akan mengkaji cara untuk menyokong pekerja platform, pekerja persendirian dan pekerja bebas dengan lebih baik dari segi perlindungan di tempat kerja, kemahiran semula (reskilling) dan laluan kerjaya.”
Beliau turut tekankan sokongan berterusan bagi pekerja bergaji rendah melalui skim Model Gaji Progresif dan Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja.
“
“Para pekerja (kini) meniti jangka hayat lebih lama, dengan aspirasi kerjaya yang lebih berbeza-beza dan keperluan berubah merentasi peringkat kehidupan... Di tengah-tengah cabaran dan gangguan (yang berlaku kini), kita mesti membentuk masa hadapan pekerjaan secara kolektif yang membolehkan pertumbuhan, kepuasan dan laluan kerjaya yang berbeza untuk berjaya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg