Lulusan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti akan mempunyai lebih banyak peluang untuk memperoleh kemahiran dan pengalaman kerja relevan dalam industri melalui program pelatih baru pada Oktober 2025.
Program tersebut, yang digelar Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (GRIT) dan GRIT@Gov, akan menawarkan sehingga 800 slot latihan merentasi pelbagai industri di agensi sektor awam dan swasta.
Berkongsi kepada wartawan semasa sesi temu media sempena festival OCBC Grow Your Way di kampus OCBC pada 22 Ogos, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, berkata program sedemikian telah ditentukur dengan teliti bagi memastikan ia tidak menggantikan pekerja sedia ada atau menjejaskan peluang pekerjaan sepenuh masa bagi lulusan muda yang lain.
“Kami telah memulakan pada skala yang lebih kecil dari segi bilangan, kerana kami sebenarnya sangat sedar bahawa ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan sepenuh masa bagi ramai lulusan muda ini.
“Kami tidak mahu ia menjejaskan pekerja yang lebih berpengalaman… jadi syarikat tidak harus mempunyai pelan pemberhentian kerja supaya mereka tidak menggunakan ini sebagai sumber tenaga kerja murah.
“Kami juga akan sangat tegas dalam mengagihkan dana ini,” kongsi beliau.
Pelancaran program berkenaan susuli ucapan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) di ITE Kolej Central di Ang Mo Kio pada 17 Ogos, di mana beliau mengetengahkan kebimbangan ramai lulusan baru tentang pekerjaan, terutamanya di tengah ketidaktentuan ekonomi semasa.
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan bersama pada 22 Ogos, para pelatih akan menjalani program tersebut dalam tempoh tiga hingga enam bulan merentasi pelbagai sektor.
Semasa tempoh itu, mereka akan meraih elaun bulanan antara $1,800 dengan $2,400, yang boleh berbeza bergantung kepada skop setiap program latihan.
Pemerintah akan membiayai 70 peratus daripada elaun tersebut, manakala baki 30 peratus itu ditanggung oleh syarikat yang menyediakan latihan, kata mereka.
Walaupun program latihan ini dimulakan dengan 800 tempat, Dr Tan menyatakan bahawa bilangan tempat boleh diperluas sekiranya keadaan ekonomi atau permintaan memerlukannya.
“Kami bersedia untuk meningkatkan tahap sokongan bagi lulusan baru, termasuk membiayai lebih banyak program pelatih sekiranya pasaran buruh menjadi lebih teruk.
“Pada masa yang sama, saya juga menggesa para majikan untuk melihat dari perspektif jangka panjang dan mengiktiraf bahawa lulusan baru akan menjadi sebahagian penting daripada aliran bakat anda,” ujar beliau.
Dalam satu hantaran Facebook pada 22 Ogos, Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menyambut baik program pelatih baru tersebut dan mengesyorkan bahawa NTUC akan terus bekerjasama dengan pemerintah untuk memperkukuh sokongan kepada lulusan.
“Saya telah berbual dengan ramai orang muda yang sangat bimbang tentang memasuki tenaga kerja dalam masa-masa yang tidak menentu ini.
“Program-program ini akan memberi lulusan kita peluang untuk memperoleh pengalaman industri yang berharga, meningkatkan kemahiran, dan membina keyakinan ketika mereka memulakan langkah pertama dalam dunia pekerjaan,” kata Encik Ng.
Selain daripada program GRIT dan GRIT@Gov yang akan ditawarkan, Dr Tan juga mengemukakan bahawa sektor awam turut menawarkan kira-kira 2,400 jawatan kosong untuk lulusan baru melalui portal pekerjaan Careers@Gov.
* Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (GRIT) dan GRIT@Gov
* Kelayakan
* Cara Memohon
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg