Walaupun terdapat pelaburan yang sihat dan jualan rumah baru, gaji karyawan hartanah di Singapura tidak berkembang pesat berbanding rakan sejawat mereka di rantau ini.
Menurut kajian terkini mengenai gaji dalam sektor hartanah, gaji median tahunan purata di Singapura adalah AS$88,000 ($120,000), lebih tinggi berbanding Malaysia, Filipina dan Indonesia, yang mempunyai kos sara hidup lebih rendah.
Namun, jumlah itu lebih rendah berbanding Vietnam, Australia, India, Thailand, China dan Hong Kong.
Laporan global 2025 mengenai Gaji, Ganjaran dan Sentimen oleh firma perundingan pengambilan pekerja. Macdonald & Company, mendapati pasaran hartanah Singapura kekal kukuh, lapor The Business Times (BT).
Menurut laporan media baru-baru ini, jualan pelaburan 2024 meningkat 35 peratus melebihi $25 bilion, dengan jualan tanah pemerintah sebagai penyumbang utama.
Trend utama termasuk pembangunan yang menekankan kemampanan dan transformasi digital.
Sebaliknya, pasaran Hong Kong, yang sering dibandingkan dengan Singapura dari segi tahap pembangunan dan harga, menghadapi cabaran seperti lebihan bekalan dan ketidaktentuan ekonomi.
Bagaimanapun, kegiatan pasaran di Hong Kong meningkat selepas kadar faedah diturunkan dan langkah penyejukan dihapuskan.
Namun, gaji median purata di Hong Kong adalah AS$90,000, lebih tinggi sedikit daripada Singapura.
Di rantau Asia-Pasifik (Apac), Vietnam mendahului dengan gaji median purata sebanyak AS$178,000.
Di Singapura, jawatan tertinggi dalam pekerjaan hartanah seperti pengarah pengurusan dan ketua jabatan menerima gaji tertinggi.
Di peringkat sejagat, sekitar dua pertiga karyawan hartanah menerima kenaikan gaji.
Walaupun ada kenaikan gaji, jurang antara jumlah maksimum bonus dengan jumlah bonus yang dibayar semakin besar di Apac.
Walaupun 72 peratus pekerja layak mendapat bonus, bonus purata yang dibayar antara 2024 dengan 2025 adalah AS$22,000, iaitu 30 peratus kurang daripada jumlah maksimum bonus yang layak diterima.
Di Singapura dan China, bonus maksimum purata adalah 40 peratus, manakala di Hong Kong adalah 45 peratus.
Australia dan Indonesia menawarkan bonus maksimum tertinggi di rantau ini pada 55 peratus.
Lebih separuh responden di Apac cenderung menukar kerja pada 2025 dengan gaji dan kekurangan kemajuan kerjaya sebagai sebab utama.
Potensi bonus turut dianggap penting apabila mencari pekerjaan baru.
Pengarah pengurusan untuk Macdonald & Company Apac, Encik Will Buck, berkata kenaikan gaji 2 peratus di seluruh rantau ini mencerminkan cabaran pasaran semasa.
“Trend ini menunjukkan kekecewaan yang terkumpul di tempat kerja dan menekankan pentingnya pampasan yang berdaya saing serta persekitaran kerja yang positif untuk mengekalkan bakat,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg