Sentimen dalam kalangan syarikat hartanah di Singapura terus bertambah baik pada suku keempat 2024.
Lebih banyak projek kediaman baru dijangka dilancarkan dan harga pelancaran dilihat meningkat “lebih tinggi sedikit”, menurut satu tinjauan suku tahunan.
Namun risiko kekangan pasaran baru menjadi perhatian utama bagi eksekutif hartanah, dengan hampir 80 peratus daripada mereka yang ditinjau pada suku keempat mengetengahkan campur tangan pemerintah sebagai risiko utama dalam enam bulan akan datang.
Menurut satu tinjauan suku tahunan oleh Institut Kajian Hartanah dan Bandar (Ireus) Universiti Nasional Singapura (NUS), Indeks Sentimen Komposit – ukuran sentimen umum – meningkat kepada 6 pada suku keempat, berbanding 5.9 pada suku sebelumnya, lapor The Business Times.
Indeks Sentimen Semasa, yang mengikuti perubahan dalam sentimen sejak enam bulan lalu, meningkat kepada 6.2, berbanding 5.9 pada suku sebelumnya.
Ia mencapai paras terendah 4.2 pada suku ketiga 2023, selepas kadar Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) dinaikkan pada April tahun yang sama dan telah meningkat secara berterusan sejak itu.
Indeks Sentimen Masa Hadapan, yang menjejak perubahan sentimen dalam tempoh enam bulan akan datang, meningkat sedikit kepada 5.9 pada suku keempat, berbanding 5.8 pada suku ketiga.
Ireus menyatakan bahawa sentimen pasaran bertambah baik pada suku keempat apabila keyakinan pelaburan meningkat, berikutan kadar faedah dan inflasi yang lebih rendah.
Sentimen juga dirangsang oleh kadar pengambilan yang kukuh untuk projek kondominium baru yang dilancarkan November lalu, tambah Dr Sing Tien Foo, profesor pengerusi provos hartanah di Sekolah Perniagaan NUS.
Kira-kira 3,375 rumah privet telah dilancarkan pada November, dengan pembeli merebut 2,557 unit – lebih tiga kali ganda berbanding 2023 dan angka jualan tertinggi sejak Mac 2013.
Ini termasuk projek Chuan Park dengan 916 unit, yang menjual hampir 80 peratus unit pada hujung minggu pelancarannya, dan projek Emerald of Katong dengan 846 unit, dan 99 peratus unitnya dijual pada hari pelancaran.
Momentum pembelian berterusan, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, pada permulaan 2025.
Syarikat pemaju menjual 1,083 rumah baru pada Januari, dirangsang oleh pelancaran The Orie di Toa Payoh, yang menjual 668 unit atau 86 peratus daripada 777 unit yang tersedia semasa pelancarannya.
Februari dijangka mencatatkan jumlah yang lebih tinggi.
Hujung minggu lalu, pembangunan bersepadu, Parktown Residence di Tampines, menjual 1,041 unit, lebih 87 peratus daripada 1,193 unit semasa pelancarannya.
Kira-kira 77.8 peratus syarikat hartanah yang ditinjau dalam tinjauan suku keempat NUS itu menunjukkan campur tangan pemerintah yang bertujuan menyejukkan pasaran perumahan, sebagai risiko utama dalam tempoh enam bulan akan datang.
Ini adalah lebih daripada 38.7 peratus pada suku sebelumnya.
Kebimbangan terhadap kenaikan inflasi atau kadar faedah juga telah meningkat dengan ketara – kepada 40.7 peratus pada suku keempat, naik daripada 6.5 peratus pada suku ketiga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg