Sektor petrokimia S’pura, serantau mungkin lepaskan tanggungjawab kontrak niaga
Sektor petrokimia S’pura, serantau mungkin lepaskan tanggungjawab kontrak niaga
Notis ‘force majeure’ bebaskan tanggungjawab kontrak dan liabiliti dalam keadaan luar jangka seperti perang
Konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah telah memberi tekanan kepada sektor petrokimia Singapura.
Dua syarikat utama mengisytiharkan force majeure dalam tempoh seminggu lalu, dengan beberapa penganalisis menjangkakan lebih banyak notis serupa bakal menyusul.
Notis force majeure membebaskan satu pihak daripada tanggungjawab kontrak dan liabiliti dalam keadaan luar jangkaan, seperti peperangan atau bencana.
“Keadaan kelihatan sangat suram bagi sektor petrokimia Singapura dan ekonomi secara keseluruhan kerana rantaian bekalan minyak telah terjejas,” kata penganalisis kanan pasaran minyak di Sparta Commodities, Cik June Goh.
Harga minyak pada 9 Mac melepasi AS$100 ($128) setong – paras tertinggi dalam tempoh empat tahun – berikutan penghentian perkapalan di Selat Hormuz serta serangan berterusan terhadap prasarana tenaga di Timur Tengah.
Di tengah-tengah kemelut itu, syarikat petrokimia Singapura PCS pada 5 Mac mengeluarkan notis force majeure kepada pelanggannya.
Syarikat yang berpangkalan di Pulau Jurong itu menghasilkan bahan kimia seperti etilena dan propilena, yang digunakan untuk penghasilan produk seperti plastik dan gentian.
Syarikat penapis minyak Aster, yang mengambil alih aset Shell di Pulau Bukom dan Pulau Jurong, turut mengisytiharkan force majeure.
Syarikat itu berkata kadar operasi di lojinya telah dikurangkan “untuk menguruskan bekalan bahan mentah yang tersedia, secara bertanggungjawab”.
Cik Goh menekankan bahawa tindakan Aster dan PCS memberi kesan kepada pengeluaran bahan kimia hiliran di Pulau Jurong.
Syarikat yang bergantung kepada Aster dan PCS sebagai pembekal utama untuk bahan mentah akan paling terjejas, kata seorang jurucakap S&P Global Energy.
Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sedang berhubung dengan pemain dalam sektor tenaga dan kimia serta “memantau rapi perkembangan yang timbul daripada konflik tersebut”, kata seorang jurucakap sebagai respons kepada pertanyaan The Business Times (BT).
“Kami bekerjasama dengan agensi pemerintah untuk menyokong syarikat ketika mereka mengharungi keadaan yang semakin berubah ini,” tambah jurucakap itu.
Sektor tenaga dan kimia Singapura menyumbang sekitar 2 hingga 3 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.
Syarikat utama industri merangkumi syarikat minyak besar seperti Shell dan ExxonMobil serta syarikat kimia khusus seperti Arkema, Cariflex dan Kuraray.
Sektor petrokimia Singapura, bersama-sama dengan seluruh Asia, berdepan kekurangan bekalan nafta akibat konflik di Timur Tengah.
Diperoleh daripada minyak mentah, nafta merupakan bahan mentah utama yang dimasukkan ke dalam loji yang dikenali sebagai steam crackers untuk menghasilkan etilena, propilena dan bahan kimia penting lain.
Cik Goh menekankan bahawa penghasilan nafta daripada sistem penapisan domestik tidak mencukupi, dengan bekalan hidrokarbon dari Timur Tengah hampir tiada.
Dengan gangguan bekalan nafta, “banyak industri yang bergantung kepada derivatif daripada steam crackers ini sebagai bahan mentah kemungkinan besar akan mengisytiharkan force majeure kerana mereka tiada cara lain,” tambah beliau.
Sementara itu, S&P Global Energy berkata mereka tidak dapat mengulas sama ada lebih banyak pemain akan mengisytiharkan force majeure dalam beberapa hari mendatang.
“(Sama ada) konflik berpanjangan di Timur Tengah akan menjejas bahagian lain dalam sektor kimia Singapura yang sangat bergantung kepada aturan bekalan bahan mentah dan minyak mentah syarikat lain,” kata jurucakap itu.
“Produk kimia dan produk petroleum ditapis Singapura kebanyakannya dieksport, manakala penggunaan tempatan agak kecil. Oleh itu, sebahagian besar pendapatan eksport akan terjejas.”
Sama ada tekanan itu berkurangan bergantung kepada penyambungan semula kegiatan perkapalan di Selat Hormuz, yang mengangkut sekitar satu per lima bekalan minyak dunia.

