Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SingPost lantik mantan eksekutif SGX, SIA Engineering sebagai pengarah bebas, bukan eksekutif

Feb 17, 2025 | 2:46 PM
Pelantikan baru ini dibuat beberapa bulan selepas SingPost mengumumkan pemecatan tiga eksekutif pengurusan kanan pada Disember 2024.
Pelantikan baru ini dibuat beberapa bulan selepas SingPost mengumumkan pemecatan tiga eksekutif pengurusan kanan pada Disember 2024. - Foto ST

Singapore Post (SingPost) pada 17 Februari mengumumkan pelantikan baru Encik Chng Lay Chew dan Encik Ng Chin Hwee sebagai pengarah bebas, bukan eksekutif, syarikat itu.

Encik Chng Lay Chew (kanan) dan Encik Ng Chin Hwee (kiri) dilantik sebagai pengarah bebas, bukan eksekutif SingPost.
Encik Chng Lay Chew (kanan) dan Encik Ng Chin Hwee (kiri) dilantik sebagai pengarah bebas, bukan eksekutif SingPost. - Foto-foto fail

Encik Ng sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif SIA Engineering dari April 2020 hingga September 2023. 

Manakala Encik Chng merupakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) bagi Singapore Exchange dari Disember 2011 hingga September 2020.

Pelantikan ini dibuat beberapa bulan selepas SingPost mengumumkan pemecatan tiga eksekutif pengurusan kanan pada Disember 2024, berikutan kecuaian mereka dalam mengendalikan siasatan dalaman berkaitan laporan pendedah maklumat, menurut syarikat tersebut.

Mereka adalah mantan CEO Kumpulan, Encik Vincent Phang; CFO Kumpulan, Encik Vincent Yik; dan CEO unit perniagaan antarabangsa (IBU), Encik Li Yu.

Encik Phang juga telah meletak jawatan daripada lembaga pengarah syarikat pada Januari, lapor The Straits Times (ST).

Pada awal Februari, SingPost turut mengumumkan peletakan jawatan mantan CEO Operasi Tempatan, Encik Shahrin Abdol Salam. 

Menyusuli peletakan jawatan Encik Shahrin, Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan syarikat itu, Cik Neo Su Yin, telah dinaikkan pangkat sebagai CEO Singapura.

Pada 3 Februari, jurucakap SingPost mengesahkan kepada ST bahawa Encik Shahrin telah meletakkan jawatan “untuk merebut peluang di luar syarikat” dan pelan peralihan sedang disusun bersama Cik Neo.

SingPost telah menerima laporan pendedah maklumat pada awal 2024 berkaitan dengan perniagaan logistik bungkusan e-dagang antarabangsa yang tidak dikawal selia. 

Laporan pendedah maklumat mengenai isu yang sama juga telah dihantar kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Singapura.

Melalui satu siasatan dalaman yang dijalankan, SingPost mendapati tiga pengurus di dalam IBU telah melakukan “pelanggaran serius” terhadap kod etika syarikat semasa mengendalikan penghantaran untuk salah satu pelanggan terbesar syarikat.

Mereka telah mengemas kini atau meluluskan kemas kini manual kod status ‘kegagalan penghantaran’ untuk bungkusan yang telah dipersetujui untuk dihantar SingPost, tanpa melampirkan dokumen sokongan mahupun melakukan percubaan penghantaran sebenar.

Siasatan mendedahkan bahawa walaupun Encik Phang, Encik Yik, dan Encik Yu menerima laporan dan penemuan daripada juruaudit dalaman berkaitan kes tersebut, mereka tetap bergantung kepada maklumat yang salah daripada wakil pihak berkepentingan IBU ketika membentangkan kenyataan kepada jawatankuasa audit.

Penyataan salah itu merosakkan kredibiliti juruaudit dalaman dan akan menyebabkan kesalahan yang dilakukan pengurus IBU itu berpanjangan.

Syarikat itu telah memecat ketiga-tiga pengurus tersebut dan membuat laporan polis. 

Ia turut memaklumkan pelanggan mengenai laporan pendedah maklumat itu serta dapatan siasatan mereka, dan kededua pihak telah mencapai satu penyelesaian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg