Sembcorp Industries sedang mengambil langkah untuk menambah pegangannya dalam Senoko Energy, yang berkemungkinan meningkatkan kepada lebih dua kali ganda kepentingannya dalam syarikat kemudahan tenaga Singapura itu.
Usul pengambilalihan itu akan meluaskan peluang bagi kedua-dua syarikat menyumbang kepada peralihan tenaga dan pembekalan tenaga mampan dan boleh dipercayai, kata Sembcorp dalam satu pemfailan bursa pada 2 April.
Anak syarikat milik penuhnya, Sembcorp Utilities, telah menandatangani satu perjanjian jual beli untuk meningkatkan kepentingannya dalam Senoko kepada maksimum 70 peratus, daripada 30 peratus sekarang mengikut laporan tahunan terbarunya.
Menurut The Business Times, perjanjian itu, yang ditandatangani dengan KPIC Netherlands, Kyuden International dan Japan Bank for International Cooperation (JBIC), menyasarkan pegangan hingga 57.1 peratus dalam syarikat milik usaha sama Lion Power, yang memegang 70 peratus kepentingan dalam Senoko.
Lion Power dimiliki oleh usaha sama terdiri daripada Marubeni Corp, KPIC Netherlands, Kyuden International dan JBIC. Marubeni memegang baki 42.9 peratus kepentingan dalam Lion Power.
Usul pemerolehan hingga 70 peratus kepentingan dalam Senoko itu tertakluk pada keutamaan membeli (pre-emption) Marubeni.
Dengan harga pembelian maksimum $144 juta – terdiri daripada harga belian $137 juta dan pelarasan modal kerja $7 juta – pembelian itu akan dibiayai melalui sumber tunai dalaman dan/atau pinjaman luar Sembcorp dan akan siap pada suku kedua 2025.
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) telah mengkaji usul pengambilalihan itu dan tiada bantahan, kata Sembcorp.
Kajian itu mengambil kira komitmen yang diusulkan Sembcorp untuk memastikan persaingan pasaran adil, termasuk menawarkan kontrak runcit yang mencukupi untuk memastikan pengguna mempunyai pilihan runcit kompetitif, tambah syarikat itu.
Sebaik sahaja selesai, usul pengambilalihan itu dijangka meningkatkan pendapatan Sembcorp secara bertahap-tahap, tetapi tidak akan memberi kesan ketara ke atas aset ketara bersih sesaham kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember.
Saham syarikat itu naik 0.8 peratus, atau lima sen, kepada pada $6.47 pada 9.55 pagi 2 April, berikutan berita itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg