Topik diikuti
Pergi ke BHkuSGX, rakan kongsi lancar program saham belia bagi perkasa pelabur muda dengan pendidikan pasaran
SGX, rakan kongsi lancar program saham belia bagi perkasa pelabur muda dengan pendidikan pasaran
SGX, rakan kongsi lancar program saham belia bagi perkasa pelabur muda dengan pendidikan pasaran
Satu inisiatif baharu telah dilancarkan pada 5 Oktober bagi menarik minat lebih ramai pelabur muda terhadap pasaran saham Singapura.
Dikenali sebagai Program Duta Saham Belia, inisiatif berkenaan akan melengkapkan pelabur muda terpilih dengan pendidikan pasaran modal, pendedahan praktikal serta peluang berinteraksi dengan ekosistem pasaran.
Program tersebut dilancarkan oleh Bursa Singapura (SGX), Persatuan Sekuriti Singapura dan Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (Sias).
Pelancarannya bertepatan dengan langkah SGX memulakan satu skim pada 5 Oktober bagi menjadikan pelaburan dalam saham berharga lebih tinggi lebih mampu milik untuk para pelabur.
Pada peringkat awal, saiz lot niaga untuk 11 saham terpilih dikurangkan bagi membolehkan pelaburan dibuat dengan modal lebih rendah.
Lot niaga, atau board lot, merujuk kepada jumlah unit saham minimum yang boleh didagangkan dalam satu-satu urus niaga.
Ketiga-tiga organisasi tersebut dalam satu kenyataan berkata:
“Secara keseluruhan, inisiatif ini merendahkan halangan penyertaan untuk melabur, memperlengkap pelabur muda dengan lebih banyak maklumat mengenai pasaran saham Singapura, serta memberi mereka peluang mengakses saham Singapura bernilai tinggi dengan modal awal yang lebih kecil.”
Program baharu itu bakal menjadi platform diterajui belia yang terbuka kepada pelajar di institusi pengajian tinggi dengan minat dalam bidang pasaran modal dan pelaburan.
Persatuan Sekuriti Singapura dan Sias akan memulakan langkah dengan memberi pendedahan kepada sayap belia Sias Youth Chapter bagi mengumpul maklum balas serta merangka program berkenaan secara bersama.
Pelabur muda yang terpilih sebagai Duta Saham Belia akan menerima pendidikan serta latihan pasaran modal, peluang berinteraksi dengan syarikat tersenarai, di samping menjalani latihan amali dan program bimbingan.
Golongan belia ini juga dapat mengasah kemahiran analisis dan penyelidikan mereka, serta penghasilan kandungan.
“Program ini bertujuan membina masyarakat pelabur berpengetahuan yang dapat membantu memberi inspirasi dan menyokong generasi seterusnya dalam perjalanan pelaburan mereka,” kata ketiga-tiga pertubuhan berkenaan.
Ahli Persatuan Sekuriti Singapura juga akan bekerjasama rapat dengan Sias untuk meningkatkan penglibatan menyeluruh bersama pelabur muda, tidak terhad kepada program baharu ini sahaja.
Pengerusi Persatuan Sekuriti Singapura, Encik Wilson He, berkata:
“Pengurangan saiz lot niaga merupakan satu langkah positif ke arah menjadikan ekuiti Singapura lebih mudah diakses, namun ia hanyalah sebahagian daripada keseluruhan usaha.
“Ia mesti dilengkapi dengan pendidikan pelabur, akses kepada penyelidikan bermutu, bimbingan, peluang latihan amali, serta pendedahan pasaran secara praktikal.”
Skim baharu itu bertujuan memperkasa pelabur muda dengan pengetahuan, keyakinan serta sokongan yang diperlukan untuk menjadi peserta jangka panjang yang berpengetahuan dalam pasaran modal Singapura, tambahnya.
Ketua Pasaran Kewangan Global Kumpulan SGX, Encik Ng Yao Loong, berkata usaha membangunkan generasi pelabur akan datang melangkaui aspek menjadikan ekuiti Singapura sekadar lebih mudah diakses semata-mata.
“Program Duta Saham Belia menyediakan peluang kepada pelabur muda untuk berinteraksi dengan syarikat tersenarai dan pengamal pasaran, sekali gus membantu mereka menerapkan tabiat pelaburan yang bijak serta perspektif jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Sias, Encik Ang Hao Yao, berkata pelabur muda sering berdepan cabaran banyak maklumat yang boleh mengelirukan, selain perlu membina asas pengetahuan serta prinsip pelaburan yang kukuh.
“Bagi ramai orang, modal yang diperlukan untuk memulakan pelaburan dalam saham Singapura boleh menjadi satu halangan.
“Pelancaran skim pengurangan saiz lot niaga ini berupaya merendahkan halangan penyertaan dengan menjadikan pasaran Singapura lebih mudah didekati, serta membuka peluang untuk membina tabiat pelaburan yang betul dari peringkat awal,” katanya.