Seorang lelaki yang merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO) MDR, sebuah firma yang disenaraikan di papan utama Bursa Singapura, menyalahgunakan aset syarikat termasuk peranti mudah alik bernilai lebih $2.5 juta.
Dokumen mahkamah menyatakan aset tersebut bertujuan untuk kegiatan promosi MDR.
Sebaliknya, Richard Siua Cheng Foo, 54 tahun, menjualnya melalui peniaga pihak ketiga, menawarkan potongan daripada setiap jualan kepada peniaga tersebut, lapor The Straits Times.
Siua juga menggunakan sebahagian daripada keuntungan yang diperolehinya secara haram itu untuk membiayai tabiat judinya.
Pada 6 Januari, dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun enam bulan selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah melibatkan 625 peranti mudah alih bernilai hampir $980,000.
Empat tuduhan lain diambil dalam pertimbangan.
Dia tidak membuat sebarang pembayaran balik kepada MDR.
Pada masa kesalahan itu dilakukan, Siua juga merupakan ketua eksekutif dan pengarah beberapa anak syarikat MDR – 3 Mobile Telecom, Handphoneshop dan A-Mobile.
Anak syarikat itu dirujuk sebagai ‘kumpulan’ dalam dokumen mahkamah, dan carian dengan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) mendedahkan bahawa dia tidak lagi memegang kesemua jawatan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Louis Ngia berkata kumpulan itu menjalankan perniagaan mengedar dan menjual telefon bimbit dan aksesori.
Menurutnya, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, anak syarikat MDR, Siua mempunyai kuasa mengarahkan kakitangannya untuk menarik balik dan menghantar kepadanya peranti mudah alih firma dari gudang untuk tujuan perniagaan yang sah.
Bagaimanapun, dia mula menyalahgunakan aset syarikat tersebut dari November 2020 dan menjualnya untuk keuntungannya sendiri.
DPP Ngia menyatakan tertuduh memulakan perbuatannya kerana dia ketagih berjudi dan wang itu digunakan untuk membiayai pertaruhan perjudiannya.
Menurut dokumen mahkamah, Siua menjual aset syarikat dengan bantuan rakannya, Tan Yeow Kian, ketika itu pengarah sebuah firma bernama Next Telecom, yang mengendalikan telefon bimbit dan aksesori.
Kes melibatkan Tan, 54 tahun, yang dirujuk oleh DPP sebagai ‘Freddy’, masih belum selesai.
Mahkamah diberitahu Siua menyalahgunakan sejumlah 4,057 unit aset syarikat bernilai lebih $2.5 juta pada 2020 dan 2021.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg