Pelanggan tidak lama lagi boleh memesan lebih 12,000 barangan runcit dan keperluan lain yang dihantar ke rumah dalam masa kira-kira sejam apabila rangkaian pasar raya Sheng Siong dan platform penghantaran Foodpanda melancarkan perkhidmatan baru pada 22 Jun.

Perkhidmatan penghantaran barangan runcit atas permintaan itu boleh didapatkan di 43 cawangan Sheng Siong di merata Singapura.

Bahkan, terdapat rancangan untuk memperluaskan skim tersebut ke cawangan lain, kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan pada 16 Jun.

“Pesanan boleh dihantar dalam masa sejam, menjadikan nilai istimewa Sheng Siong dan penjimatan mesra bajet terus ke depan pintu rumah,” tambah kenyataan itu.

Sejak 2023, kekerapan pesanan barangan runcit di platform Foodpanda telah meningkat sebanyak 7 peratus di Singapura, dan purata bilangan barangan untuk setiap pesanan telah meningkat sebanyak 8 peratus, kata kenyataan itu.

Ia merupakan tanda perubahan yang lebih luas dalam tabiat membeli-belah, dengan lebih ramai pengguna bergantung kepada penghantaran atas permintaan bukan sahaja untuk tambah nilai saat akhir, tetapi juga untuk pembelian barangan runcit mingguan secara tetap, tambahnya.

Kedua-dua syarikat itu menandakan pelancaran perkhidmatan baru itu dengan kempen yang menawarkan hadiah wang tunai dan diskaun sehingga 40 peratus untuk beberapa produk Sheng Siong sehingga 19 Julai.

Ini bukan kali pertama Sheng Siong menjalin kerjasama dengan syarikat penghantaran barangan runcitnya.

Pada Februari 2025, pengendali khidmat penghantaran makanan, Deliveroo, telah menjalin kerjasama dengan rangkaian pasar raya, Sheng Siong, untuk memperluas khidmat penghantaran barangan runcitnya.

Namun Deliveroo telah menamatkan khidmat dari pasaran Singapura pada 4 Mac 2026.