Syarikat penerbangan tempatan, Singapore Airlines (SIA), akan membelanjakan $45 juta untuk menaik taraf ruang istirahat (‘lounge’) premium di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi, dengan kerja-kerja pengubahsuaian dijadualkan dalam beberapa fasa selama dua tahun.
Apabila kerja naik taraf itu siap kelak, ruang istirahat di T2 itu akan menawarkan sehingga 50 peratus lebih ruang dan tempat duduk, selain kemudahan serta pilihan makanan dan minuman (F&B) yang dipertingkat.
Ruang istirahat ini disediakan untuk penumpang SIA yang terbang dalam kelas pertama dan kelas perniagaan, serta mereka yang ‘kerap terbang’ (frequent flyer) ke destinasi tertentu.
Kerja-kerja pembinaan ruang istirahat SilverKris Kelas Pertama di T2 itu akan bermula pada 15 April, dan dijangka siap pada suku akhir 2025.
Kerja-kerja pembinaan bagi ruang istirahat SilverKris Kelas Perniagaan di T2 dijangka bermula pada suku keempat 2025, manakala pembinaan ruang istirahat KrisFlyer Gold yang baru pula dijadualkan bermula pada separuh pertama 2026.
Kerja-kerja naik taraf itu dijangka selesai menjelang pertengahan 2027, lapor The Straits Times (ST).
Menurut SIA, ruang istirahat SilverKris Kelas Pertama yang baru di T2, antaranya, akan menampilkan siling lebih tinggi serta tingkap dari lantai ke siling.
Ruang berkenaan turut dilengkapi sajian bufet layan diri dan stesen memasak secara langsung yang menawarkan pelbagai hidangan Singapura, Asia dan Barat.
Ruang istirahat SilverKris Kelas Perniagaan di T2 akan diperluaskan sebanyak 30 peratus, tambah SIA.
Ia akan menampilkan kawasan rehat yang tenang dengan kerusi boleh laras, ruang tamu yang direka semula dengan pelbagai pilihan tempat duduk, serta kawasan bufet layan diri yang lebih luas.
Sementara itu, ruang duduk KrisFlyer Gold Lounge di T2, yang kini boleh memuatkan 160 pelanggan, akan digandakan, tambah syarikat penerbangan itu.
Kemudahan baru termasuk tandas dan bilik mandi di dalam ruang istirahat, membolehkan penumpang menyegarkan diri sebelum penerbangan mereka.
“Penambahbaikan ini menegaskan komitmen berterusan kami untuk menyediakan pengalaman bertaraf dunia yang lancar, memenuhi jangkaan tinggi pelanggan kami yang bijak memilih,” kata Naib Presiden Kanan SIA untuk Pengalaman Pelanggan, Encik Yeoh Phee Teik.
Pelaburan terkini SIA ini dibuat selepas syarikat penerbangan tersebut membelanjakan $50 juta antara 2019 dengan 2022 untuk menaik taraf ruang istirahat premium di Terminal 3 (T3) Lapangan Terbang Changi. Ini adalah kerana mereka menjangkakan pertumbuhan dalam penerbangan kelas perniagaan dan premium selepas pandemik Covid-19.
Dalam langkah lain untuk memperbaiki pengalaman penumpang premium di darat, SIA baru-baru ini melantik syarikat perhotelan Perancis, Accor, sebagai vendor barunya pada April untuk menyediakan khidmat pegawai perhubungan penumpang bagi semua ruang istirahat SilverKris SIA di Singapura.
Accor telah mengendalikan ruang istirahat premium untuk syarikat penerbangan Australia, Qantas, di Singapura, bertahun lamanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg