Landasan ketiga di Lapangan Terbang Changi dianggar mula beroperasi sekitar suku keempat 2027, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
CAAS berkata demikian dalam dokumen tender yang diterbitkan di portal perolehan pemerintah, GeBiz, pada 13 Mac, apabila ia meminta kontraktor menyediakan satu sistem pengawasan dan analisis video untuk sistem pesawat tanpa pemandu, yang juga dikenali sebagai dron.
Ini adalah kali pertama tempoh khusus untuk pembukaan landasan ketiga lapangan terbang itu diberikan, membuka laluan bagi sistem tiga landasan di Lapangan Terbang Changi, lapor The Straits Times (ST).
Sebelum ini, terdapat pengumuman landasan ketiga itu akan beroperasi pada separuh kedua dekad ini.
Landasan ketiga itu adalah sebahagian daripada pembangunan Changi East baru, yang merangkumi Terminal 5 pada masa hadapan.
Ia akan membolehkan lapangan terbang itu mengendalikan lebih banyak penerbangan apabila permintaan bagi perjalanan udara meningkat.
Pada masa ini, Lapangan Terbang Changi beroperasi dengan dua landasan.
Landasan ketiga, yang sebelum ini hanya digunakan untuk penerbangan tentera, telah dilanjutkan daripada 2.75 kilometer kepada 4 kilometer untuk mengendalikan pesawat penumpang yang lebih besar.
Demikian berdasarkan maklumat daripada laman web Lapangan Terbang Changi.
Sekitar 40 kilometer jalan rayap lapangan terbang atau taxiway baru akan dibina untuk menghubungkan landasan ketiga itu dengan dua landasan lain dan seluruh lapangan terbang.
Sistem tiga landasan itu akan membantu menyokong pertumbuhan yang dijangkakan dalam trafik udara di Lapangan Terbang Changi, memandangkan Terminal 5 kelak akan mengendalikan sehingga 50 juta penumpang setahun.
Ini di samping tampungan penumpang lapangan terbang itu yang mencecah 90 juta buat masa ini.
Menurut dokumen tender, CAAS merancang melancarkan satu sistem pengawasan kamera baru untuk mengesan, menggolongkan dan menjejak dron di sekitar lapangan terbang secara automatik.
Pihak berkuasa sedang mencari sistem yang menggunakan penderia elektro-optik dan inframerah.
Sensor elektro-optik menukarkan cahaya yang boleh dilihat kepada isyarat elektrik, manakala penderia inframerah menukar haba kepada isyarat elektrik.
Kedua-duanya boleh mengesan dan menjejak data untuk analisis video.
Sistem pengawasan itu harus dapat menjejak dan menggolongkan pergerakan dron secara terperinci, menyediakan pengawasan sudut lebar kawasan untuk kesedaran keadaan, serta menawarkan perspektif 360 darjah pemandangan untuk analisis video.
Pada fasa pertama, sistem itu seharusnya dapat memeriksa dan menganalisis ruang udara di sekitar dua landasan pertama di Lapangan Terbang Changi.
Ia kemudian perlu diurus dan dipantau dari Pusat Kawalan Trafik Udara Singapura di Changi dan di Suar Tidak Berarahan Bedok atau Bedok Non-Directional Beacon, kata CAAS.
Suar tidak berarahan ialah pemancar radio berasaskan darat yang biasanya digunakan sebagai bantuan pengemudian pesawat.
Sistem itu kemudian perlu diurus dan dipantau dari dua tapak lain, yang lokasinya akan ditentukan selepas semakan dilakukan.
Fasa kedua itu perlu beroperasi dengan pembukaan landasan ketiga pada suku keempat 2027, tambah pihak berkuasa itu.
Penderia juga akan dipasang di semua empat tapak tersebut.
Penderia itu seharusnya dapat mengesan dron berukuran sehingga 0.3 meter kali 0.3 meter, sekurang-kurangnya 1.6 kilometer jauh untuk penderia yang menyediakan medan penglihatan yang sempit, dan sekurang-kurangnya 0.5 kilometer untuk penderia yang meliputi sudut lebih luas.
Alat itu juga perlu mampu beroperasi dalam semua keadaan pencahayaan, termasuk kegelapan sepenuhnya.
Sistem ini seharusnya dapat merakam dan memaparkan jejak sejarah dron yang dikesan, dan terus menjejaki sasaran yang mungkin dikaburkan buat sementara waktu daripada medan penglihatan penderia itu.
Bagi memastikan jangka hayatnya, sistem itu seharusnya dapat menerima lebih banyak imej atau video dari sistem kamera lain dan menjalankan analisis video menggunakan rakaman luaran.
CAAS menambah, ini membolehkan sistem itu dikembangkan pada masa hadapan, dan menyokong prasarana pengawasan lapangan terbang yang berkembang.
Ketika ditanya tentang perbezaan antara sistem pengawasan baru dengan yang sedia ada untuk dron, Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Kanan Kumpulan Sistem Tanpa Pemandu di CAAS, Encik Tan Kah Han, berkata sistem baru itu akan membolehkan pihak berkuasa memanfaatkan teknologi analitik video untuk mengukuhkan keupayaan pengawasan dan pengenalannya.
Encik Tan menambah lapangan terbang itu sudah dilengkapi dengan keupayaan pengawasan untuk menghalang dan mencegah operasi dron tanpa kebenaran untuk keselamatan penerbangan dan awam, dan meminimumkan gangguan kepada operasi lapangan terbang.
Beliau menyatakan sistem baru itu adalah sebahagian usaha berterusan CAAS untuk memastikan Lapangan Terbang Changi selamat.
Tender untuk sistem pengawasan dan analisis video di Lapangan Terbang Changi ini akan ditutup pada 4 petang, 21 April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg