SIA dinobat syarikat penerbangan terbaik dalam senarai Fortune
SIA dinobat syarikat penerbangan terbaik dalam senarai Fortune
Singapore Airlines (SIA) sekali lagi mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbaik dan berada di tangga ke-24 secara keseluruhan dalam senarai syarikat paling dikagumi dunia yang disenaraikan majalah perniagaan Amerika, Fortune.
Kedudukan keseluruhan syarikat penerbangan nasional itu meningkat empat anak tangga berbanding kedudukan ke-28 pada 2025.
Kini memasuki edisi ke-28, senarai tersebut disusun berdasarkan tinjauan terhadap 3,380 eksekutif, pengarah dan penganalisis sekuriti dari seluruh dunia, yang memilih 10 syarikat yang paling mereka kagumi.
Syarikat-syarikat tersebut dinilai berdasarkan sembilan faktor, termasuk mutu pengurusan, inovasi dan daya saing sejagat.
Kedudukan keseluruhan SIA menjadikannya syarikat Asia kedua tertinggi dalam senarai tersebut, dengan Toyota Motors berada satu tangga di belakang.
Syarikat penerbangan itu juga mengatasi banyak syarikat berbilang negara dan jenama terkenal seperti Nike, Starbucks, BMW, Accenture, Visa, Samsung, Mastercard dan UPS.
SIA juga merupakan satu-satunya syarikat berpangkalan di Singapura yang tersenarai dalam 50 syarikat teratas.
Ini merupakan kali ke-24 syarikat penerbangan itu tersenarai dalam senarai tahunan tersebut.
Dalam pada itu, 10 nama teratas dalam senarai itu kebanyakannya terdiri daripada syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, iaitu Apple, Microsoft, Amazon, Nvidia, JPMorgan Chase, Berkshire Hathaway, Costco Wholesale, Alphabet, Walmart dan American Express.
Dalam kategori syarikat penerbangan, SIA muncul sebagai yang terbaik dalam kalangan pesaing industrinya, dengan syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Delta Airlines, menduduki tempat kedua.
Kumpulan Air France-KLM berada di tempat ketiga, manakala United Airlines dan Lufthansa dari Jerman masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIA, Encik Goh Choon Phong, berkata syarikat penerbangan itu amat berbesar hati menerima pengiktirafan tersebut dan “sangat berterima kasih” atas sokongan para pelanggan, rakan kongsi, pemegang saham dan semua pihak berkepentingan.
“Apabila kami melihat ke hadapan, pengiktirafan ini adalah milik kakitangan kami, di mana profesionalisme, dedikasi dan semangat mereka menetapkan penanda aras kecemerlangan setiap hari.
“Kami kekal komited untuk mengekalkan kepimpinan industri melalui penekanan yang tidak berbelah bahagi terhadap keselamatan dan inovasi, di samping terus meningkatkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh,” katanya.
Syarikat penerbangan nasional itu juga disenaraikan sebagai syarikat penerbangan keempat paling menepati masa di rantau Asia-Pasifik pada 2025, meningkat daripada kedudukan ketujuh pada 2024.
Dalam laporan bertarikh 2 Januari oleh firma analitik penerbangan Cirium, kadar ketepatan masa syarikat penerbangan itu ialah 78.58 peratus.

