Penumpang pesawat yang menaiki penerbangan dari Singapura ke kota seperti Melbourne, Sydney atau Brisbane di Australia dan Auckland di New Zealand, boleh menjangkakan masa penerbangan lebih singkat jika mereka menaiki beberapa penerbangan pilihan.
Ini menyusuli langkah memperkenal proses percubaan selama 15 bulan, di mana juruterbang penerbangan pilihan itu, menggunakan laluan penerbangan paling langsung lagi berkesan, merentasi ruang udara beberapa negara yang terlibat, lapor The Straits Times (ST).
Semasa tempoh percubaan itu, juruterbang dalam penerbangan berkenaan dibenarkan menggunakan laluan lebih optimum di samping menjimat bahan api.
Percubaan itu mendapati juruterbang mampu mempercepat masa penerbangan, menjimat bahan api serta mengurangkan pelepasan karbon apabila keadaan angin mengizinkan.
Tempoh tersebut secara rasmi berakhir pada 31 Oktober.
Namun, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata syarikat penerbangan boleh terus mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa trafik udara untuk menggunakan laluan lebih langsung itu, dengan sokongan enam negara yang terlibat dalam penerbangan percubaan tersebut.
Enam negara tersebut – Singapura, Australia, Fiji, Indonesia, New Zealand dan Papua New Guinea – membenarkan juruterbang daripada lapan syarikat penerbangan memilih laluan langsung bagi merentasi ruang udara mereka, sambil mengendalikan 70 laluan antara kota.
CAAS juga sedang meneroka peluang menambah laluan antara kota bagi operasi serupa pada masa hadapan.
Buat masa ini, Singapura yang memanfaatkan laluan optimum itu menggunakan khidmat penerbangan seperti Singapore Airlines (SIA) dan Air New Zealand, merangkumi penerbangan ke Adelaide, Brisbane, Cairns, Melbourne dan Sydney di Australia, serta Christchurch dan Auckland di New Zealand.
Selain berpotensi memendekkan masa penerbangan apabila juruterbang dibenarkan memilih laluan yang paling optimum, ia juga boleh meningkatkan keselesaan, misalnya dengan membantu mereka mengelakkan kawasan yang mengalami gelora udara.
Penggunaan bahan api lebih rendah boleh mengurangkan kos operasi, dan seterusnya tambang penerbangan, kata seorang penganalisis yang dihubungi ST.
Kaedah yang membolehkan juruterbang memilih laluan paling optimum itu dikenali sebagai ‘user-preferred routing’ atau laluan pilihan pengguna.
Tanpa kaedah itu, juruterbang perlu bergantung pada rangkaian laluan udara tradisional yang tetap, ibarat lebuh raya halimunan di ruang udara, untuk terbang dari satu lokasi ke lokasi lain.
Sebanyak lapan syarikat penerbangan – SIA, Jetstar Airways, Qantas, Fiji Airways, Cathay Pacific, Garuda Indonesia, Air New Zealand dan EVA Airways – boleh terus merancang serta mengemukakan permohonan bagi laluan fleksibel merentasi ruang udara yang terlibat, jelas CAAS.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg