Syarikat Penerbangan Singapore Airlines (SIA) menjangka pendapatan daripada penumpang terus sederhana di tengah-tengah peningkatan kapasiti industri, sedang pendapatannya merosot merentasi semua pasaran dan segmen pelanggan menjejas laba kumpulan itu.
Dalam satu taklimat hasil kewangan suku kedua tahun kewangan 2025 pada 11 November, Ketua Pegawai Komersial SIA, Encik Lee Lik Hsin, berkata: “Jelas sekali penurunan pendapatan berbeza bagi laluan berbeza...
“Tetapi saya boleh kata bahawa penurunan pendapatan merentasi semua bahagian. Semua laluan kami menyaksikan keadaan sederhana ekoran persaingan semakin meningkat di pasaran.”
Menurut The Business Times, beliau turut mendedahkan bahawa penurunan itu juga merentasi semua segmen pelanggan, termasuk kelas ekonomi dan kelas perniagaan.
Hasil perkhidmatan penerbangan penumpang ialah $0.111 bagi setiap kilometer pendapatan penumpang – 9 peratus lebih rendah bagi tahun ke tahun.
Di Scoot, hasilnya ialah 4.5 peratus lebih rendah pada $0.064.
Tetapi, Encik Lee berkata SIA tidak akan menyekat kapasiti dalam menghadapi persaingan. Sebaliknya, kumpulan itu akan menyesuaikan penerbangan dan kekerapan mengikut permintaan.
Keuntungan bersih syarikat penerbangan itu bagi suku hingga September berkurangan lebih daripada separuh apabila ia menjunam 59 peratus kepada $290 juta, dengan pengurangan drastik terutama didorong keuntungan operasi yang lebih rendah.
Pendapatan berjumlah kira-kira $4.8 bilion, lebih tinggi sedikit sebanyak 2 peratus. Namun, hasil yang lebih rendah menyebabkan kejatuhan 0.9 peratus dalam pendapatan penumpang bagi suku tersebut.
Selain itu, kos melonjak sebanyak 14.7 peratus dalam persekitaran inflasi dan apabila kumpulan itu meningkatkan kapasiti.
Satu laporan Citi berkata pasaran mungkin memberi tindak balas negatif terhadap harga saham SIA kerana sesetengah pelabur menjangka tambang bertahan kerana penghantaran pesanan pesawat yang lewat.
Saham SIA susut 6 peratus pada awal dagangan pada 11 November, selepas syarikat penerbangan itu mengumumkan hasil kewangannya di bawah jangkaan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Goh Choon Phong, menambah bahawa faktor muatan penumpang “secara tekal sangat kukuh” dan mereka “menjangka permintaan menjadi sihat”.
Faktor muatan penumpang mengukur berapa banyak kapasiti penumpang syarikat penerbangan itu digunakan.
Beliau juga berkata hasil penumpang dalam tempoh dua tahun terakhir tahun kewangan 2023 dan tahun kewangan 2024 adalah “luar biasa”.
Ini kerana kumpulan SIA dapat memenuhi permintaan kerana ia telah bersiap sedia untuk pemulihan pascapandemik, serta mengekalkan anak kapal dan pesawatnya dalam keadaan utuh.
Hasil semasa juga masih lebih tinggi daripada paras prapandemik, kata Encik Goh.
Selain itu, SIA telah dapat mengekang kos hingga peratusan kenaikan kos unit pembawa perkhidmatan penuh tidak termasuk bahan api lebih rendah daripada hasil, berbanding tahap prapandemik.
Sebagai contoh, hasil penumpang pada suku kedua tahun kewangan 2025 ialah $0.111 bagi setiap kilometer pendapatan penumpang – 12.1 peratus lebih tinggi daripada prapandemik.
Namun, kos seunit tidak termasuk bahan api sebanyak $0.059 hanya 5.4 peratus lebih tinggi.
Saham SIA turun 3.1 peratus, atau $0.20, kepada $6.25 pada 1.23 tengah hari 11 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg