Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SIA jalin kerjasama dengan lapangan terbang baru di Sydney

Aug 29, 2024 | 2:57 PM
Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney Barat dengan landasan tunggal akan dapat mengendalikan sehingga 10 juta penumpang setahun apabila ia dibuka pada 2026.
Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney Barat dengan landasan tunggal akan dapat mengendalikan sehingga 10 juta penumpang setahun apabila ia dibuka pada 2026. - Foto WESTERN SYDNEY INTERNATIONAL AIRPORT

Singapore Airlines (SIA) menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang bekerjasama dengan lapangan terbang baru yang sedang dibina di barat Sydney, terletak kira-kira 7 kilometer dari kawasan Blue Mountains yang terkenal.

SIA akan mengendalikan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney Barat – yang sudah 80 peratus siap – apabila ia dibuka pada akhir 2026, kata lapangan terbang itu pada 27 Ogos.

Syarikat penerbangan itu “dalam perbincangan” dengan lapangan terbang tersebut berkenaan operasi penerbangan, jurucakap SIA memberitahu The Straits Times sebagai menjawab pertanyaan mengenai bila perkhidmatan itu dijangka bermula, dan bilangan penerbangannya.

Lapangan Terbang Western Sydney ialah lapangan terbang greenfield pertama di Australia dalam tempoh lebih 50 tahun. Tapak greenfield merujuk kepada tapak yang belum pernah dibina apa-apa sebelum ini.

Ia terletak kira-kira 41 kilometer dari Lapangan Terbang Sydney Kingsford Smith dan 44 kilometer dari daerah pusat perniagaannya atau Central Business District (CBD).

Menurut data daripada firma perundingan data penerbangan OAG, SIA kini mengendalikan empat penerbangan sehari dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Sydney Kingsford Smith, manakala cabang kos rendah SIA, Scoot, mengendalikan 10 penerbangan seminggu ke bandar itu.

Laluan itu juga disediakan oleh British Airways, yang mengendalikan satu penerbangan sehari, dan syarikat penerbangan utama Australia, Qantas, yang mengendalikan dua penerbangan harian.

“Australia ialah pasaran penting bagi Kumpulan SIA, dan permintaan untuk perjalanan udara ke/dari Sydney kekal teguh,” kata SIA.

Faktor muatan penumpang SIA untuk wilayah Pasifik Barat Daya, termasuk Australia dan New Zealand, adalah 90 peratus pada Julai, turun 2.3 peratusan mata daripada angka Julai 2023 sebanyak 92.3 peratus.

Laluan Singapura-Sydney syarikat penerbangan itu disediakan oleh pesawat Airbus A380 dan Boeing 777-300ER – pesawat terbesarnya.

Lapangan Terbang Sydney Barat dengan landasan tunggal akan dapat mengendalikan sehingga 10 juta penumpang setahun. Terdapat rancangan menambah landasan kedua apabila permintaan meningkat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg