SEOUL: Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada 3 September bahawa ia sedang memeriksa enjin Rolls-Royce Trent XWB-84 dalam semua pesawat A350-900 miliknya sebagai langkah berjaga-jaga.
Langkah tersebut diambil selepas syarikat penerbangan Cathay Pacific Airways mengalami komponen enjin yang gagal berfungsi semasa satu penerbangan.
Pada masa ini, langkah tersebut tidak membawa sebarang kesan terhadap penerbangan Singapura yang menggunakan pesawat A350-900.
Cathay Pacific menyatakan pada 3 September bahawa ia telah memeriksa semua pesawat Airbus A350 miliknya, selepas satu komponen enjin pesawatnya gagal berfungsi beberapa minit selepas ia berlepas dari Hong Kong pada 2 September.
Ia telah mengenal pasti 15 pesawat yang mempunyai komponen enjin yang perlu diganti.
Menurut syarikat penerbangan Hong Kong itu, tiga daripada 48 pesawat berenjin Rolls-Royce yang telah diperiksanya telah melalui kerja pembaikan dengan berjaya.
Kesemua pesawat itu dijangka beroperasi semula pada 7 September.
Disebabkan masalah melibatkan pesawatnya, Cathay Pacific membatalkan sekurang-kurangnya 34 penerbangan pergi balik ke destinasi tertentu.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan lain menyatakan ia masih belum menerima arahan untuk memeriksa enjin serupa.
Data daripada khidmat pengesanan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan syarikat pengendali utama lain yang memiliki pesawat A350-1000 dan pesawat A350-900, yang lebih kecil dan popular, nampaknya melakukan penerbangan dengan pesawat itu seperti biasa pada 2 September.
Syarikat Japan Airlines (JAL), yang berpangkalan di Tokyo dan mempunyai lima pesawat A350-1000 yang semuanya berusia kurang setahun, menyatakan ia telah meminta maklumat lanjut daripada Rolls-Royce menyusuli insiden tersebut.
Namun, ia tidak menghentikan penerbangan pesawat A350 pada masa ini.
“Jika syarikat pengeluar enjin mengambil tindakan lanjut, kami akan memberi respons sewajarnya,” kata jurucakap JAL.
Rolls-Royce masih belum mengeluarkan arahan kepada syarikat penerbangan mengenai pemeriksaan yang mungkin diadakan, menurut satu sumber industri yang tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka mengenai perkara tersebut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg