Syarikat penerbangan Emirates melancarkan tempat duduk kelas ekonomi premium pada Jun lalu untuk penerbangan dari Singapura ke Dubai, sebagai langkah memenuhi permintaan daripada pengembara yang ingin menaiki pesawat dengan lebih selesa pada harga yang lebih berpatutan.
Emirates yang merupakan pesawat Amiriah Arab Bersatu (UAE) itu telah melengkapi pesawat A380-nya dengan 56 tempat duduk ekonomi premium bagi setiap pesawat. Pengurus negara Emirates di Singapura dan Brunei, Encik Rashid Al Ardha, yakin bahawa kabin baharu itu “akan memenuhi keperluan pengembara korporat dan percutian.”
Tambang untuk kelas ekonomi premium Emirates bermula daripada $1,729, berbanding $699 untuk kelas ekonomi dan $3,009 untuk kelas perniagaan, walaupun harga akhir tertakluk kepada dinamik pasaran.
Buat masa ini, pengembara tidak boleh menggunakan mata ‘frequent flyer’ (pengembara yang kerap menaiki pesawat) mereka untuk menaik taraf tempat duduk mereka daripada ekonomi kepada ekonomi premium.
Emirates telah ketinggalan di belakang syarikat penerbangan lain dalam menawarkan tempat duduk sedemikian. Ia hanya berbuat demikian mulai 2021 untuk penerbangan antara Dubai dengan London.
Syarikat penerbangan itu kini menawarkan pilihan tempat duduk ekonomi premium bagi lapan destinasi termasuk Singapura, New York dan Christchurch.
Sebagai perbandingan, syarikat penerbangan Cathay Pacific melancarkan kelas ekonomi premiumnya pada 2012, manakala Singapore Airlines (SIA) melakukannya pada 2015.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg