Meski kehadiran persaingan yang sengit menjejas keuntungan, Singapore Airlines (SIA) ingin terus meningkatkan kapasiti penerbangannya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIA, Encik Goh Choon Phong, optimis tentang peluang pertumbuhan di India dan Asia Tenggara.
Oleh kerana syarikat penerbangan pesaing menambah lebih banyak penerbangan dalam suku yang berakhir pada 30 September, SIA berkata ia memperoleh pendapatan yang lebih rendah bagi setiap penumpang.
Ini kerana penambahan kapasiti penerbangan melebihi pertumbuhan trafik dan permintaan.
Ini menyebabkan keuntungan bersih Kumpulan SIA bagi Julai hingga September merosot 59 peratus kepada $290 juta, berbanding $707 juta pada 2023, lapor The Straits Times.
Selain pendapatan yang merosot, kos kumpulan penerbangan juga meningkat 14.7%, dengan perbelanjaan bukan bahan api naik 16.6% disebabkan tekanan inflasi.
Pada taklimat keputusan kewangan pada 11 November, Ketua Pegawai Komersial SIA, Encik Lee Lik Hsin, berkata hasil pendapatan daripada penumpang SIA yang merupakan proksi untuk tambang penerbangan telah turun secara keseluruhan.
Hasil pendapatan daripada setiap penumpang jatuh dalam semua segmen, termasuk kelas ekonomi dan perniagaan.
Namun, Encik Lee menekankan bahawa pendapatan daripada setiap penumpang masih melebihi paras 2019.
Encik Goh juga menegaskan bahawa hasil pendapatan untuk syarikat pada suku kedua tahun kewangan 2024/2025 adalah sekitar 12 peratus lebih tinggi berbanding sebelum wabak Covid-19.
Beliau juga menyatakan bahawa walaupun perbelanjaan meningkat, kos unit SIA, tidak termasuk bahan api, kekal hampir sama, yang disebabkan oleh usaha untuk mengawal kos.
Apabila ditanya mengenai kenaikan harga yang akan datang di Lapangan Terbang Changi, Ketua Pegawai Operasi SIA, Encik Tan Kai Ping, berkata kenaikan caj pendaratan dan tempat letak kapal terbang akan meningkatkan perbelanjaan operasinya.
Mengenai bilangan penumpang SIA, Encik Goh berkata ia kekal kuat dan syarikat menjangka permintaan akan terus sihat.
Antara Mac dengan September 2024, jumlah tempat duduk yang dipenuhi adalah 86.4 peratus – turun 2.4 peratus berbanding 2023.
Beberapa jam selepas taklimat pada 11 November, cabang ekonomi penerbangan SIA, Scoot, mengumumkan penerbangan ke tiga destinasi baru – Phu Quoc di Vietnam; Padang di Indonesia; dan Shantou di China.
Scoot juga akan terbang lebih kerap ke Jakarta, Koh Samui, Davao dan Vientiane.
Sementara itu, syarikat penerbangan India, Vistara, yang dimiliki bersama SIA, mengendalikan penerbangan terakhirnya pada 11 November sebelum bergabung dengan Air India.
SIA akan mengekalkan 25.1 peratus kepentingan dalam entiti gabungan itu, membolehkan syarikat penerbangan Singapura itu mengambil bahagian secara langsung dalam pertumbuhan pasaran penerbangan India.
Namun, gangguan rantaian bekalan telah melanda kumpulan SIA yang disebabkan oleh kelewatan penghantaran.
Pada taklimat 11 November, Encik Goh berkata SIA telah mengambil langkah untuk mengurangkan isu rantaian bekalan.
Usaha ini termasuk membina bekalan alat ganti tempatan, dan memanfaatkan kemudahan tempatan supaya pembaikan dilakukan dengan lebih cepat.
Pada 4 November, SIA mengumumkan rancangan $1.1 bilion untuk mengubahsuai armada Airbus A350 dengan tempat duduk kelas pertama dan perniagaan.
Tempat duduk ini sepatutnya diperkenalkan pada 777-9 pada 2021, tetapi ditangguhkan kerana kelewatan penghantaran pesawat Boeing.
Syarikat penerbangan lain juga telah melancarkan produk kabin baru dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan SIA pula telah berusaha untuk menambah baik tempat duduk premium barunya, kata Encik Goh.
“Kami tetap yakin bahawa produk yang kami perkenalkan akan terus menjadi peneraju industri,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg