Penduduk kondominium Loyang Valley di Changi akan membuat percubaan yang ketiga bagi penjualan kolektif, dengan harga simpanan (reserve price) atau harga paling rendah yang ingin dijual diturunkan kepada $880 juta.
Harga simpanan yang $100 juta lebih rendah daripada tender terakhirnya pada 2022 itu “mencerminkan angka yang realistik dan boleh dicapai berdasarkan keadaan pasaran semasa”, kata Encik Terence Lian, ketua jualan pelaburan Huttons Asia, yang merupakan ejen pemasaran yang dilantik.
Pada 2022, jawatankuasa jualan kolektif pada mulanya mencadangkan harga simpanan sebanyak $880 juta tetapi menaikkannya kepada $980 juta selepas beberapa pemilik mencari pulangan yang lebih tinggi.
Tiada tawaran diterima apabila tender ditutup pada 15 Disember tahun itu.
Pada Mei 2025, Encik Lian dan pasukan jurujual hartanahnya berjaya memperoleh mandat 80 peratus yang diperlukan untuk meneruskan penjualan kolektif itu, lapor The Straits Times pada 14 Jun.
Tender awam untuk Loyang Valley dijangka dilancarkan pada 8 Julai dan ditutup pada 26 Ogos.
Dibina pada 1985, kondominium yang mempunyai 362 unit di Changi itu merupakan estet berkonsep resort seluas 840,648 kaki persegi, dengan baki 56 tahun dalam pajakan 99 tahun.
Percubaan penjualan kali ini menandakan perubahan ketara dalam jangkaan penjual, kata Encik Lian.
“Beberapa faktor telah mendorong pemilik untuk menyokong jualan kolektif, termasuk baki tempoh pajakan yang berkurangan, isu penyelenggaraan berterusan yang berkaitan dengan hartanah yang kian menua, peluang untuk memanfaatkan nilai aset dengan harga premium, dan pertimbangan berkaitan perancangan warisan,” katanya.
“Stesen MRT Loyang di Laluan Rentas Pulau yang disahkan telah diambil kira dalam analisis kami dan secara positif mempengaruhi potensi masa depan tapak itu.”
Pada harga $880 juta, pemilik unit dua bilik tidur paling kecil seluas 1,001 kaki persegi akan menerima kira-kira $1.67 juta, manakala pemilik unit empat bilik tidur terbesar boleh meraih kira-kira $3.9 juta, katanya.
Seorang pemilik, yang telah tinggal di Loyang Valley sejak 1985, memberitahu ST beliau menjangkakan untuk mendapat lebih $2 juta bagi unitnya yang seluas 1,500 kaki persegi.
Pesara itu, yang enggan namanya didedahkan, telah membayar kurang $300,000 untuk unitnya. Beliau merancang menggunakan hasil penjualan itu untuk membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik di kawasan berdekatan, pergi bercuti dan menyimpan selebihnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg