Syarikat insurans tempatan, Singlife, telah menubuhkan pusat perkhidmatan bersama bagi menyokong penasihat kewangan di Singapura dalam langkah yang semakin mendapat tempat dalam industri apabila firma penasihat kewangan (FA) dijangka menjadi saluran jualan pilihan pelanggan.
Penyedia insurans yang merupakan anak syarikat milik penuh Sumitomo Life ini menyatakan pada 2 Januari bahawa pusat perkhidmatan bersama mereka direka untuk memperkasa penasihat kewangan supaya dapat memulakan firma mereka sendiri.
Dinamakan Propel, pusat perkhidmatan ini sudah mempunyai sebuah pasukan terdiri daripada hampir 100 kakitangan dan akan menyediakan khidmat seperti pendaftaran pelanggan, pemantauan komisen serta sokongan operasi dan pentadbiran.
Ditubuhkan pada September 2023, Propel setakat ini telah mendaftar lebih 230 penasihat dari tujuh firma FA seperti Alpha Wealth Financial Advisers, lapor The Straits Times (ST).
Firma FA yang menyertai Propel perlu membayar yuran platform teknologi bulanan, dan yuran perkhidmatan pilihan mereka.
Dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Propel, Encik Steven Ong, pusat perkhidmatan itu berhasrat menarik lebih 700 penasihat pada 2025, dengan matlamat mencapai 3,000 penasihat menjelang 2029.
Di bawah model ‘seni bina terbuka’, penasihat yang menggunakan pusat perkhidmatan bersama ini tidak diwajibkan untuk menjual produk Singlife.
Tetapi penyedia insurans tetap berharap perniagaan perkhidmatan bersama ini akan membantu meningkatkan jualan keseluruhannya.
Menjelaskan mengenai model tersebut, Singlife menyatakan:
“Dengan menyediakan sokongan menyeluruh kepada firma FA, Propel menyokong trend ejen terikat yang beralih ke model (ejen) tidak terikat, membuka peluang untuk peningkatan jualan di seluruh saluran FA.
“Peningkatan jualan keseluruhan yang dijangka dihasilkan oleh firma FA yang disokong oleh Propel akan diterjemahkan kepada pertumbuhan jualan keseluruhan Singlife.”
Singlife menganggarkan bahawa firma FA sudah bersedia untuk menjadi saluran jualan utama di Singapura kerana pengguna lebih gemar produk insurans yang pelbagai.
Saluran FA dijangka berkembang pada kadar sekitar 13 peratus setahun dalam beberapa tahun akan datang, kata Singlife.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Singlife, Cik Pearlyn Phau, berkata:
“Dengan membolehkan penasihat beroperasi di luar saluran terikat dan memberikan nasihat yang disesuaikan (buat pelanggan) serta tidak berat sebelah, kami sedang memacu industri yang lebih dinamik, telus dan mengutamakan pelanggan yang memberi manfaat kepada semua pihak.”
Baru-baru ini ST melaporkan bahawa penyedia insurans tempatan, Income Insurance, telah menubuhkan anak syarikat yang dinamakan Income Advisory Group (IAG) pada Ogos 2024 untuk menjadi rakan perniagaan kepada mereka yang ingin memulakan firma FA mereka sendiri.
Firma FA yang menggunakan perkhidmatan bersama IAG boleh memilih untuk menjual produk Income sahaja atau juga menawarkan pelan dari penyedia insurans lain.
Berbeza daripada model Singlife, IAG dijangka mengambil pegangan dalam firma FA tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg