Dalam salah satu perjanjian urus niaga insurans terbesar di rantau ini, syarikat insurans Jepun, Sumitomo Life Insurance, menawarkan untuk memperoleh sepenuhnya syarikat insurans tempatan, Singapore Life Holdings (Singlife).
Pemerolehan Singlife itu bernilai $4.6 bilion.
Di bawah perjanjian tersebut, Sumitomo Life akan membeli 35 peratus pegangan milik pengurus aset TPG dalam Singlife yang bernilai $1.6 bilion.
Ia juga akan menawarkan untuk membeli saham pelabur minoriti, menurut The Straits Times (ST).
Perjanjian itu bermakna Singlife akan menjadi anak syarikat milik penuh Sumitomo Life yang berpangkalan di Osaka.
Langkah itu adalah sebahagian strategi syarikat insurans Jepun itu di Asia Tenggara.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Bursa Saham Singapura pada 22 Disember, Singlife menyatakan perjanjian urus niaga itu dijangka selesai pada suku pertama 2024, dan tertakluk kepada kelulusan pihak pengawal selia di Jepun dan Singapura.
“Sumitomo Life, yang kali pertama melabur dalam Singlife pada 2019, melihat Singapura sebagai sebahagian penting strateginya di Asia Tenggara dan menjangka perjanjian ini akan meningkatkan pendapatan daripada portfolio perniagaan antarabangsanya.
“Ia tidak berhasrat mengubah cara Singlife beroperasi, sama ada dari segi nama, jenama, pasukan pengurusan atau operasinya. Oleh itu, ia tidak akan menjejas pelanggan,” ujar kenyataan itu lagi.
Singlife turut menyatakan Sumitomo Life menyokong rancangan dan aspirasi jangka panjangnya untuk berkembang di Singapura dan di rantau ini.
Pengerusi Singlife, Encik Ray Ferguson, berkata firma itu telah berkembang daripada sebuah syarikat insurans baru dan kecil untuk menjadi pemain utama dalam industri perkhidmatan insurans dan kewangan Singapura.
Singlife, yang ditubuhkan pada 2014, adalah salah satu daripada enam syarikat insurans terbaik di Singapura berdasarkan jumlah asetnya yang bernilai $14.4 bilion pada 31 Disember 2022.
Perjanjian itu dibuat selepas syarikat insurans Jepun itu meningkatkan pegangannya dalam Singlife kepada 27 peratus daripada 23.2 peratus, dengan membeli saham baru bernilai $180 juta pada November lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg