Syarikat perkhidmatan kewangan tempatan, Singlife, telah memperkenalkan satu produk insurans perjalanan yang menawarkan pembayaran bagi kecederaan daripada kejadian gelora dalam penerbangan, memperluaskan perlindungan perubatan semasa dalam pelan insurans perjalanannya.
Manfaat pertama dalam pasaran itu membayar sehingga $1,000 untuk kecederaan akibat gelora di udara di Singapura dan luar negara, di samping perbelanjaan perubatan akibat kecederaan dalam penerbangan, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Singlife pada 29 Mei.
Ketua Produk Kumpulan Singlife, Cik Helen Shen, berkata:
“Perubahan iklim menjadikan perjalanan semakin tidak menentu, dengan insiden gelora di udara yang lebih kerap dan pola cuaca yang mengganggu.
“Kami sebelum ini merintis perlindungan hujan untuk melindungi pengembara daripada gangguan berkaitan cuaca.”
Singlife merupakan satu-satunya syarikat insurans di Singapura yang menawarkan perlindungan sehingga $150 bagi pengembara yang perjalanan mereka tergendala dek hujan lebat.
Bagi perlindungan kecederaan akibat gelora udara semasa penerbangan, tiga pelan – Travel Lite, Travel Plus dan Travel Prestige – menyediakan manfaat tambahan bagi kemasukan ke hospital di Singapura dan wad biasa di luar negara, masing-masing sebanyak $500, $750 dan $1,000 mengikut jenis pelan.
Namun, hanya pelan Travel Prestige menawarkan manfaat tambahan sebanyak $1,000 untuk kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di luar negara, manakala Travel Lite dan Travel Plus tidak meliputi manfaat itu.
Selain perlindungan perubatan, pelan Travel Plus dan Prestige Singlife melindungi pemegang polisi daripada pembatalan perjalanan atas sebarang sebab, termasuk tempahan yang tidak boleh dikembalikan wang.
Mata ganjaran yang hilang seperti mata penerbangan kerap, mata penginapan hotel dan ganjaran kad kredit juga boleh digantikan semula berdasarkan nilai runcitnya, tambah Singlife.
Ia turut menyediakan pilihan tambahan yang meliputi cuti golf, sukan musim sejuk, sukan air yang mencabar, majlis perkahwinan serta sesi bergambar di luar negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg