Insurans percuma selama setahun adalah antara pelbagai ganjaran SG60 untuk anggota Perkhidmatan Negara (NS) dan keluarga mereka, sempena sambutan ulang tahun ke-60 (SG60) negara.
Pelan insurans kemalangan peribadi itu dijamin oleh Singlife dan menyediakan perlindungan $50,000 untuk ahli Persatuan Askar Kerahan (Safra), pasangan dan anak-anak mereka.
Ini diumumkan oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad, yang juga Presiden Safra, pada 16 Mac di Safra Family Day Out yang diadakan di Rainforest Wild Asia.
Acara tersebut dihadiri lebih daripada 1,500 ahli Safra dan keluarga mereka, lapor The Straits Times (ST).
“Selama 60 tahun, NSmen adalah tonggak penting dalam Pertahanan Mutlak Singapura. Ini cara Safra mengiktiraf usaha anggota NS dan sokongan keluarga mereka,” kata Encik Zaqy.
Dikenali sebagai Safra Family Care, pelan insurans percuma selama 12 bulan ini adalah kerjasama antara Safra dan Professional Investment Advisory Services, anak syarikat Singlife.
Ahli Safra, pasangan, dan anak-anak mereka layak menerima $50,000 bagi kematian atau kecacatan yang berlaku akibat kemalangan. Mereka juga layak mendapat perlindungan perubatan sehingga $200 dan $1,000 untuk keretakan tulang dan perbelanjaan lain. Ahli Safra yang berminat boleh mendaftar di dalam talian sehingga penghujung 2026.
Sementara itu, Acara Safra Family Day Out pada 16 Mac menandakan permulaan sambutan SG60.
Acara yang akan datang termasuk Pesta Makanan SG60 (Jun hingga Ogos) dengan sesi mencuba makanan dan memasak, serta Pesta Sukan Safra (Julai hingga Oktober) yang menampilkan pertandingan relay pasukan.
Ahli Safra juga akan menikmati promosi dan diskaun 30 peratus untuk tiket ke Zoo Singapura, Bird Paradise, River Wonders, dan Night Safari (Isnin hingga Khamis) untuk sepanjang tahun. Diskaun khas untuk Rainforest Wild Asia juga akan tersedia pada akhir tahun.
Antara promosi SG60 termasuk diskaun $60 untuk pelayaran Royal Caribbean penginapan di National Service Resort and Country Club, dan tawaran istimewa kedai makanan dan minuman seperti di Sushiro serta KFC.
Ahli Safra, yang terdiri daripada lebih 420,000 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan keluarga mereka, boleh menikmati faedah ini.
Seorang pengurus projek, Encik Avier Ling, yang hadir bersama isterinya, Cik Joreen Koh dan anak perempuan mereka, Annette Ling, berkata mereka membayar $60 untuk masuk ke Rainforest Wild Asia, berbanding harga biasa $117.
Encik Ling memanfaatkan diskaun keahlian Safra untuk membeli cermin mata dan membawa Annette ke taman permainan air di Safra Punggol.
Encik Zaqy, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, hadir di acara pelancaran itu bersama AP GRC Marsiling-Yew Tee lain, termasuk Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam, dan Cik Hany Soh.
Ditanya media mengenai pilihan raya umum yang akan datang, yang mesti diadakan sebelum 23 November dan sama ada beliau akan bertanding semula di GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Zaqy berkata: “Itu keputusan Perdana Menteri. Kami akan menunggu Hari Penamaan Calon.”
Mengenai tekanan bertanding bersama Encik Wong, beliau berkata: “Sentiasa ada banyak yang boleh dipelajari daripada seseorang dengan rekod yang cemerlang. Kami berharap untuk bekerjasama dan menyokong Encik Wong dalam menjadikan Marsiling-Yew Tee tempat yang lebih baik untuk didiami.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg