Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SingPost kaji faedah guna MRT untuk bawa barangan pos

Jun 24, 2024 | 6:34 PM
Selama tiga bulan mulai 25 Jun, duta mel SingPost berpakaian seragam, akan mengambil barangan pos dari stesen MRT Tampines dan Raffles Place. Mereka kemudian akan membuat perjalanan di Laluan Timur Barat (EWL) untuk membawa barangan pos itu ke kemudahan pengasingan SingPost berhampiran stesen MRT Paya Lebar.
Selama tiga bulan mulai 25 Jun, duta mel SingPost berpakaian seragam, akan mengambil barangan pos dari stesen MRT Tampines dan Raffles Place. Mereka kemudian akan membuat perjalanan di Laluan Timur Barat (EWL) untuk membawa barangan pos itu ke kemudahan pengasingan SingPost berhampiran stesen MRT Paya Lebar. - Foto SINGPOST, STELLAR LIFESTYLE

Syarikat Singapore Post (SingPost) dan cabang perniagaan SMRT, Stellar Lifestyle, melancarkan satu projek perintis khidmat pengambilan surat dan bungkusan, sebagai sebahagian daripada satu Memorandum Persefahaman (MOU) mereka untuk meneroka potensi mengadakan lebih banyak “tempat khidmat pos” berhampiran stesen MRT.

Selama tiga bulan mulai 25 Jun, seorang atau sehingga dua “duta mel” SingPost yang berpakaian seragam, akan mengambil barangan pos setiap hari dari stesen MRT Tampines dan Raffles Place.

Mereka kemudian akan membuat perjalanan di Laluan Timur Barat (EWL) pada waktu agak lengang dari 11 pagi hingga 2 petang untuk membawa surat dan bungkusan itu ke kemudahan pengasingan SingPost yang terletak berhampiran stesen MRT Paya Lebar.

Menurut SingPost dan Stellar Lifestyle, projek perintis itu direka untuk mengkaji faedah menggunakan kereta api MRT untuk mengambil barangan pos, terutama dari segi kecekapan kos operasi dan pengurangan pelepasan karbon.

Ini juga adalah kali pertama syarikat penghantaran surat dan bungkusan Singapura itu menggunakan kereta api MRT untuk mengambil barangan pos.

Sekiranya projek tersebut berjaya, kededua pihak itu merancang untuk meluaskan projek itu ke lebih banyak stesen di semua laluan kereta api kendalian SMRT yang lain, lapor The Straits Times.

SingPost juga akan menentukan lokasi kemudahan POPStop, dan tempat khidmat pos tersebut pada masa depan.

Menyifatkan rangkaian rel SMRT sebagai “amat mudah dikunjungi”, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SingPost bagi urus niaga Singapura, Encik Shahrin Abdol Salam, berkata kerjasama dengan Stellar Lifestyle akan membolehkan syarikat itu membawa khidmatnya “lebih dekat kepada masyarakat” dan memberi khidmat yang lebih bersepadu dengan rutin harian masyarakat.

“Pelanjutan kerjasama kami dengan Stellar Lifestyle akan terus memudahkan pengguna dan syarikat kecil dan sederhana (SME), dengan menyediakan tempat khidmat (pos) kami secara strategik di sepanjang rangkaian pengangkutan utama di seluruh Singapura,” tambahnya.

Encik Shahrin adalah mantan Pengarah Urusan bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) SMRT dan juga mantan Naib Presiden Kanan Perhubungan Strategik SMRT.  

Beliau menggalas jawatan barunya di SingPost pada 1 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg