Topik diikuti
Pergi ke BHkuSingPost lancar mesin automatik $30j tingkat keupayaan proses bungkusan
SingPost lancar mesin automatik $30j tingkat keupayaan proses bungkusan
Pelaburan strategi penting bagi SingPost perkukuh asas operasi, perluas keupayaan berskala besar
SingPost lancar mesin automatik $30j tingkat keupayaan proses bungkusan
SingPost telah melancarkan kemudahan pengasingan bungkusan automatik bernilai $30 juta di hab logistik e-dagang serantau syarikat itu di Tampines, langkah yang disifatkan sebagai kelebihan daya saing penting.
Kemudahan yang merangkumi pengasingan tiga dimensi (3D) dan pengasingan fleksibel pintar itu telah dirasmikan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 9 Jun.
Pelaburan itu merupakan strategi penting bagi SingPost untuk memperkukuh asas operasinya, memperluas keupayaan berskala besar, serta merebut peluang perniagaan yang lebih luas.
Sistem canggih itu bakal melonjakkan kapasiti pemprosesan bungkusan bersaiz kecil dan sederhana, daripada 100,000 kepada 300,000 unit sehari.
Dengan penyepaduan keupayaan bungkusan besar, hab logistik serantau SingPost di Tampines kini mampu memproses sehingga 400,000 bungkusan sehari.
Langkah itu menyatukan seluruh operasi pengasingan di bawah satu bumbung, menamatkan pengasingan tugas yang sebelum ini terbahagi antara Pusat SingPost di Paya Lebar dengan Tampines.
Kesepaduan itu menjamin aliran kerja yang lebih lancar, sekali gus melonjakkan kecekapan sambil mengurangkan kos operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif SingPost, Encik Mark Chong, berkata: “Hab automatik terpusat ini membolehkan kami beralih kepada model operasi yang lebih fleksibel dan responsif terhadap permintaan pasaran.
“Inisiatif ini juga menjadi pemacu utama untuk mengurangkan kos penyediaan perkhidmatan kami sehingga lebih 10 peratus.”
SingPost telah mendedahkan keutamaan strategiknya pada pertengahan Mei, yang akan membantu kumpulan itu mengawal kos melalui langkah mengoptimumkan operasi, teknologi dan rangkaiannya.
Menurut Cik Teo, pemerintah mengiktiraf peranan yang dimainkan SingPost dan akan terus bekerjasama rapat dengan kumpulan itu bagi memastikan perkhidmatan pos kekal mudah diakses serta mampan dari segi kewangan untuk jangka masa panjang.
SingPost bakal membawa khidmat pos lebih dekat dengan para penduduk apabila perkhidmatan ‘SingPost@MyBlock’ akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang September ini menyusuli kejayaan daya usaha tersebut semasa tempoh percubaan.
Penduduk kini tidak perlu lagi membuat perjalanan ke pejabat pos atau peti pos di tepi jalan, sebaliknya mereka boleh mengirim surat dan bungkusan kecil secara terus di peti surat yang ditetapkan di kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau blok kediaman masing-masing.
Saham SingPost naik $0.01 atau 3.23 peratus kepada $0.32 pada sekitar 5 petang, 9 Jun.
