Singapore Post (SingPost) pada 29 Disember menerbitkan perincian tindakan disiplin yang membawa kepada pemecatan tiga eksekutif kanannya.
Ia mengatakan bahawa lembaga pengarah syarikat tersebut telah menjalankan penilaian yang wajar dan ketiga-tiga yang dipecat mempunyai peluang mengemukakan hujah sebelum keputusan dibuat.
Dalam makluman kepada Bursa Singapura, lembaga pengarah SingPost mendedahkan perincian siasatan dan tindakan disiplin yang membawa kepada pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Encik Vincent Phang; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Encik Vincent Yik dan CEO unit perniagaan antarabangsa (IBU) yang terlibat, Encik Li Yu.
Ianya bagi menjawab pertanyaan pihak berkepentingan dan media serta kebimbangan tadbir urus korporat, menurut laporan The Straits Times (ST).
Ketiga-tiga mereka membantah keputusan itu, berkata alasan yang diberikan untuk pemecatan mereka adalah tanpa alasan yang kukuh dan proses yang membawa kepada keputusan itu tidak dijalankan secara adil.
Pendedahan lembaga pengarah itu telah diperincikan dalam dua fasa.
Yang pertama, tertumpu pada pemalsuan data penghantaran e-dagang, yang telah dikenal pasti melalui laporan pemberi maklumat.
Kedua, ia mengenai kelakuan eksekutif kanan dalam mengendalikan isu yang ditimbulkan oleh pemberi maklumat itu.
Fasa pertama penyiasatan yang berkaitan dengan amalan Encik Yu dalam IBU untuk memasukkan secara manual kod status “DF” (kegagalan penghantaran) berkenaan dengan sejumlah besar bungkusan yang SingPost telah setuju untuk hantar.
Namun, ia telah menunjukkan bahawa penghantaran telah dicuba tetapi gagal, secara palsu.
SingPost berkata ia dimaklumkan oleh Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) bahawa tiga bekas kakitangan IBU telah mengemukakan tuntutan untuk pemecatan yang salah.
Dua di antara mereka menarik balik tuntutan dan yang ketiga memutuskan untuk tidak meneruskan tuntutannya.
Pada 11 November, SingPost memfailkan laporan polis terhadap ketiga-tiga mereka.
Fasa kedua penyiasatan yang berkaitan dengan kelakuan pengurusan dalam pengendalian penyiasatan terhadap laporan pemberi maklumat, serta pembaharuan perjanjian pelanggan yang terjejas pada 2023.
Siasatan itu mendedahkan bahawa walaupun Encik Phang, Encik Yik dan Encik Yu dibekalkan dengan laporan dan penemuan juruaudit, serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh juruaudit, mereka tetap sengaja membuat kenyataan salah yang serius mengenai dakwaan pemberi maklumat kepada jawatankuasa audit.
Salah nyata (misrepresentation) itu dilakukan lebih tiga kali dari 11 Mac hingga 3 April, bercanggah dengan laporan juruaudit dan tanpa sebarang bukti atau bukti bebas, kata lembaga itu.
Prosiding itu, yang tamat pada 20 Disember, menentukan bahawa salah laku eksekutif kanan memerlukan tindakan tatatertib yang membawa kepada pemecatan.
Ini memandangkan pelanggaran dasar yang teruk dan risiko undang-undang dan reputasi yang serius terlibat.
Untuk memastikan keadilan dan kebebasan, lembaga itu berkata ia juga memperoleh pendapat kedua mengenai perkara itu daripada peguam kanan di firma guaman terkemuka lain.
Ini sebelum membuat keputusan untuk memecat Encik Phang, Encik Yik dan Encik Yu pada 21 Disember.
SingPost kemudiannya memfailkan pengumuman rasminya mengenai laporan pemberi maklumat, prosiding tatatertib dan penggantian kepimpinan di bursa saham lewat pada 22 Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg