Singapore Post (SingPost) sedang dalam proses memuktamadkan sebuah model operasi bersama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang bertanggungjawab memantau penghantaran pos dan bungkusan tempatan.
Ini termasuk rancangan untuk beralih dari pejabat pos tradisional kepada lokasi dan saluran alternatif, dengan pelanggan boleh memanfaatkan sistem pos untuk menghantar, menerima atau menguruskan surat dan bungkusan.
Lembaga pengarah penyedia perkhidmatan pos menyatakan bahawa projek transformasi perniagaan SingPost di negara ini diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) unit perniagaan Singapura, Encik Shahrin Abdol Salam, bersama pasukan kepimpinan yang lain, lapor The Straits Times.
Dalam satu kenyataan pada 29 Disember, lembaga pengarah tersebut berkata:
“Sebagai sebahagian daripada transformasi berterusan kami, SingPost sedang mengkaji semula saluran perkhidmatan pelanggannya untuk memenuhi permintaan pengguna yang berkembang bagi perkhidmatan pos dalam landskap digital yang pantas berubah.
“Penyesuaian akan dilakukan pada beberapa pejabat pos dan lokasi untuk memastikan perkhidmatan pos kekal berkesan dari segi kos dan relevan.”
Perniagaan SingPost di Singapura juga sedang dalam proses penyusunan semula prasarana dan rangkaian pos negara untuk penuhi pertumbuhan logistik e-dagang, serta merancang untuk terus melabur dalam meningkatkan keupayaan dan memperbaiki daya pengeluaran syarikat melalui automasi.
Mereka akan turut pertimbangkan perubahan dalam profil perniagaan SingPost, serta keperluan untuk mengkaji semula strategi kumpulan dalam menilai proses pelantikan CEO kumpulan baru.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai jawapan terhadap kebimbangan yang timbul menyusuli pemecatan tiga eksekutif kanan pada 21 Disember atas sebab “kecuaian” dalam mengendalikan satu siasatan dalaman.
Tiga pegawai itu ialah mantan CEO kumpulan SingPost, Encik Vincent Phang; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan, Encik Vincent Yik; dan CEO unit perniagaan antarabangsa, Encik Li Yu.
Dalam kenyataan tersebut, lembaga pengarah SingPost juga menegaskan bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak pengurusan syarikat untuk memastikan penjualan perniagaan logistik SingPost di Australia selesai mengikut jadual.
Ini termasuk rancangan melepaskan aset bukan teras bagi kurangkan hutang dan kembalikan modal berlebihan kepada pemegang saham, dan juga cadangan penjualan perniagaan pengurusan logistik Australia kepada firma ekuiti persendirian dengan nilai A$776 juta ($656 juta) dalam bentuk tunai.
Lembaga pengarah mengesahkan hasrat syarikat untuk melepaskan perniagaan dan aset bukan teras mereka secara berperingkat, dan akan meminta kelulusan pemegang saham untuk pelepasan yang dicadangkan itu dalam mesyuarat agung yang dijangka diadakan pada Februari 2025.
Pelepasan itu bakal dilaksanakan sementara perniagaan SingPost di Singapura “beralih kepada model aset yang lebih ringan, rendah karbon, dengan pulangan lebih tinggi”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg