Syarikat Singapore Post (SingPost) mengumumkan pada 21 Jun bahawa ia telah melantik syarikat khidmat perbankan dan pelaburan, Merrill Lynch Markets Australia, sebagai penasihat kewangan kepada lembaganya.
SingPost menyatakan penasihat yang dilantik pada 20 Jun itu akan bekerjasama dengan lembaga pengarahnya untuk “melakarkan pelbagai pilihan bagi perniagaan kumpulan itu di Australia secara khususnya”.
Syarikat penghantaran surat dan bungkusan Singapura itu merancang mencapai skala perniagaan baik di Australia dengan meneroka beberapa peluang kerjasama jangka pendek yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan SingPost, lapor The Business Times (BT).
Ia berkata bahawa ini akan menyediakan ekuiti untuk mengurangkan hutang daripada tindakan pemerolehan syarikat itu, selain mewujudkan penanda aras penilaian bebas.
SingPost juga berhasrat untuk terus mengintai peluang bagi penggabungan dan pemerolehan perniagaan, serta pilihan kecairan aset pada masa depan.
Pada 19 Mac, syarikat itu melaporkan bahawa kerja menjalankan semakan strategik portfolionya telah selesai, dan ia mengenal pasti lima teras strategik yang dirancang dilaksanakan dalam masa tiga tahun akan datang.
Sebelum ini, sebuah anak syarikat SingPost telah memperoleh syarikat Border Express, pengendali pengedaran palet dan bungkusan di Australia, pada harga tidak melebihi A$210 juta ($189 juta).
Dengan pemerolehan itu, SingPost merancang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara lima syarikat logistik terbesar di Australia dari segi saiz pendapatan.
Teras strategiknya yang lain termasuk menyusun semula syarikat itu kepada tiga unit perniagaan, iaitu Singapura, Australia dan Antarabangsa, di samping mengubah perniagaan logistik dan penghantaran di bandar Singapura.
SingPost juga mengenal pasti satu senarai aset dan perniagaan yang bukan utama kepada strateginya, namun yang boleh menghasilkan keuntungan sebagai sebahagian daripada usaha mengitar semula modal syarikat itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg