Ekonomi & Kerja
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singtel akan jual kepentingan dalam Trustwave pada $280.6j

Oct 2, 2023 | 6:31 PM
JUAL KEPENTINGAN: Singtel akan jual kepentingan dalam cabang keselamatan siber Trustwave.
JUAL KEPENTINGAN: Singtel akan jual kepentingan dalam cabang keselamatan siber Trustwave. - Foto ST

Anak syarikat milik penuh syarikat telekomunikasi Singtel, Singtel Enterprise Security (AS), telah bersetuju menjual semua kepentingan ekuiti dalam cabang keselamatan siber miliknya, Trustwave, yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat, pada nilai perusahaan AS$205 juta ($280.6 juta).

Nilai tersebut terdiri daripada nota bercagar dan wang tunai, menurut The Straits Times.

Pembelinya ialah MC2 Titanium, sebuah dana ekuiti pertumbuhan yang diasaskan oleh pasukan kepimpinan eksekutif The Chertoff Group, sebuah firma penasihat.

Singtel berkata penjualan pelaburan itu “seiring dengan usaha strategiknya menyelaras dan menumpukan semula fokus perniagaannya di Asia Pasifik serta memperbaiki nilai pemegang saham dengan mengoptimum peruntukan sumber”.

Penjualan itu tidak dijangka memberi kesan ketara kepada kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, tambah Singtel dalam satu pemfailan dengan Bursa Singapura pada Isnin.

Menyusuli penjualan itu, Trustwave akan diklasifikasi semula sebagai anak syarikat yang dipegang untuk dijual sehingga pada 30 September 2023, dan akan dipisahkan daripada kewangan kumpulan itu.

Transaksi penjualan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2023, dan tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat penutupan biasa.

Pengumuman Singtel itu dibuat menyusuli selesainya semakan strategik Trustwave pada September 2023.

Satu rencana Bloomberg pada Ogos 2022 berkata bahawa perjanjian penjualan itu boleh mencecah AS$200 juta hingga AS$300 juta, sambil menukil orang yang mengetahui perkara itu.

Trustwave, yang menyediakan khidmat keselamatan siber di Amerika, berada di bawah segmen perusahaan kumpulan Singtel.

Pada 2015, Singtel telah memperoleh 98 peratus kepentingan dalam Trustwave pada harga AS$770 juta selepas mengambil kira penyelarasan modal kerja.

Jumlah itu lebih rendah berbanding harga awal AS$810 juta apabila perjanjian itu pertama kali diumumkan pada awal tahun itu.

Berdasarkan penyata kewangan tahun penuh terbaru Singtel yang berakhir 31 Mac 2023, Trustwave menyumbang pendapatan operasi sebanyak $163 juta – merosot 55.7 peratus berbanding $368 juta pada tahun kewangan 2022.

Kerugian sebelum faedah, cukai dan penurunan nilai aset (Lbitda) bagi Trustwave untuk tempoh itu relatif tidak berubah pada $116 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg