Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat AI S’pura, Sea-Lion kini dimanfaat banyak firma Asia Tenggara

Syarikat itu manfaat 13 bahasa termasuk Jawa, Sunda, Melayu, Tamil, Thailand, Vietnam, Inggeris dan Cina; lebih 235,000 pengguna telah muat turun aplikasi
May 5, 2025 | 4:21 PM
Pasukan Sea-Lion terdiri (dari kiri) Cik Hamsawardhini Rengarajan; Dr Ngui Jian Gang; pengarah kanan produk AI dan ketua pasukan Sea-Lion di AI Singapore, Dr Leslie Teo (duduk); Cik Leong Wai Yi; Encik Tai Ngee Chia (duduk) dan Encik David Ong.
Pasukan Sea-Lion terdiri (dari kiri) Cik Hamsawardhini Rengarajan; Dr Ngui Jian Gang; pengarah kanan produk AI dan ketua pasukan Sea-Lion di AI Singapore, Dr Leslie Teo (duduk); Cik Leong Wai Yi; Encik Tai Ngee Chia (duduk) dan Encik David Ong. - Foto ST

Model bahasa besar atau Large Language Model (LLM) yang dibangunkan di Singapura, Sea-Lion, semakin mendapat perhatian, dengan sekitar 235,000 muat turun setakat ini, didorong penggunaan oleh syarikat besar seperti GoTo Group di Indonesia.

Selepas melancarkan model terkini LLM yang mempunyai kemampuan “membuat pertimbangan lebih rasional” pada 15 April, para penyelidik di AI Singapore berkata mereka merancang menambah ciri pengenalan suara pada 2025, diikuti ciri lain seperti pengecaman visual.

Ciri-ciri baru itu dijangka meningkatkan kegunaan model tersebut di rantau ini yang kaya dengan bahasa lisan dan tidak bertulis.

Model tersebut kini mengenali 13 bahasa, termasuk Jawa, Sunda, Melayu, Tamil, Thailand dan Vietnam, serta Inggeris dan Cina, lapor The Straits Times.

LLM merujuk kepada model kecerdasan buatan (AI) yang dilatih dengan data besar untuk memahami dan menghasilkan bahasa manusia.

LLM digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti penterjemahan bahasa, penulisan automatik dan analisis teks.

Sea-Lion dimanfaatkan sebilangan perniagaan untuk ciri bahasa, dengan GoTo antara syarikat pertama yang menggunakan Sea-Lion pada Februari 2024, sebagai asas membina sistem AI syarikat itu yang tersendiri.

Ketua pegawai data GoTo, Encik Ofir Shalev, berkata:

“Melatih model dari awal seringkali sangat mahal. Jadi, seperti kebanyakan syarikat dalam industri, kami menggunakan pendekatan pralatihan berterusan – membina model sedia ada sebagai titik permulaan.”

Menurut Encik Shalev, model, Sahabat-AI GoTo kini diukur sebagai lebih tepat dalam membaca dan mentafsir bahasa Indonesia, Jawa dan Sunda berbanding model lain dengan saiz sama.

Inisiatif Sea-Lion bernilai $70 juta bagi membina LLM sumber terbuka yang mencerminkan ciri-ciri asli Asia Tenggara, dilancarkan pada Disember 2023.

Ia dibiayai Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), dan disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star).

Versi terkini Sea-Lion, v3.5, yang dibina pada model sumber terbuka lain, Llama 3.1, telah diperhalusi agar ia menjadi lebih cekap dalam huraian masalah rumit, inferens (hasilkan kesimpulan berdasarkan fakta) logik dan arahan berbilang langkah berbanding versi sebelumnya.

Ia adalah antara beberapa model di seluruh dunia yang menawarkan mod “pemikiran hibrid”, membolehkan pengguna pilihan mengguna atau tidak mengguna “pemikiran lanjutan” – menjimatkan masa dan sumber pengkomputeran bagi tugasan mudah.

Peningkatan utama adalah konteks kapasiti 128,000 token model tersebut, membolehkannya memproses dan memahami dokumen dan perbualan lebih panjang tanpa kehilangan maklumat awal.

Kapasiti 128,000 token bersamaan dengan sekitar 75,000 hingga 100,000 perkataan.

Ini setanding dengan model terkemuka seperti GPT-4o dan Llama 3.1 daripada Meta, dan hanya diatasi beberapa model lain, seperti Gemini daripada Google dan Claude daripada Anthropic.

Ketua saintis di anak syarikat teknologi Singtel, NCS, Encik Ying Shaowei, menggelar Sea-Lion v3.5 sebagai satu kemajuan penting bagi ekosistem AI Singapura.

NCS sedang mengembangkan projek perintis Sea-Lion untuk menyokong usaha penterjemahan dokumen undang-undang dan pematuhan.

Ia akan menggunakan model terkini Sea-Lion untuk turut melaksanakan kegiatan penglibatan pelanggan dalam pelbagai bahasa, selain pengesanan perubahan peraturan rentas sempadan, serta menyatukan kandungan dalaman merentasi bahasa dan format.

“Kami amat berminat untuk melihat prestasi model itu sebagai sebahagian sistem lebih besar, dan bagaimana ia disepadukan dengan aliran kerja perusahaan sedia ada, saling boleh kendali (dengan sistem lain), kos keseluruhan untuk menggunakannya, dan kedudukannya dari segi keselamatan,” kata Encik Ying.

Faktor kritikal tersebut akan menentukan sama ada Sea-Lion boleh diperluas dalam persekitaran operasi sebenar.

“Sea-Lion menunjukkan potensi sebenar dalam beberapa aspek ini, dan kami terus menguji peranannya dalam huraian AI yang lebih rumit, melangkaui bahasa dan merangkumi pengetahuan lebih bernilai, klasifikasi dokumen, dan interaksi berasaskan suara,” katanya.

Di Thailand, Sea-Lion telah digunakan dalam satu aplikasi suara yang, dalam satu contoh, membantu seorang pekerja yang bertutur Indonesia, mengemukakan satu aduan kepada Jabatan Buruh Thailand untuk menuntut gajinya yang tidak dibayar oleh majikannya. Aduan tersebut difailkan dalam bahasa Thailand.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg