Sektor sensitif, seperti perbankan dan penjagaan kesihatan, serta sektor awam tidak lama lagi akan dapat memanfaatkan produk awan kecerdasan buatan (AI) daripada gergasi telekomunikasi, Singtel.
Syarikat itu melancarkan tawarannya, yang dipanggil RE:AI, pada 10 Oktober di pejabatnya di George Street, bersama lima Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ahli akademik, pemain perusahaan dan pemula AI.
Ketua eksekutif unit InfraCo Digital Singtel, Encik Bill Chang, berkata pada taklimat media bahawa tidak seperti pemain dalam industri awan lain, yang mungkin membawa perkakasan AI ke Singapura, syarikat itu mempunyai kelebihan sebagai pemain tempatan yang memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, lapor The Business Times.
Beliau menyatakan bahawa syarikat yang mempunyai kes penggunaan sensitif, seperti dalam sektor perbankan dan penjagaan kesihatan, perlu memproses data mereka di sini.
“Adakah mereka mahu meletakkan (data) ini dengan pemain bukan Singapura yang mempunyai GPU di sini, atau dengan pemain Singapura yang mempunyai GPU di sini, itu satu persoalan utama,” katanya.
GPU, atau unit pemprosesan grafik, digunakan untuk melatih dan menjalankan model AI.
Sebagai sebahagian daripada RE:AI, Singtel menawarkan akses kepada cip GPU Nvidia H100, yang merupakan salah satu cip terpantas dalam pasaran sekarang.
Sedang Nvidia mengemas kini cipnya, Encik Chang berkata syarikat itu komited untuk membawa cip terkini, seperti cip GPU Nvidia GB200 yang akan datang, ke pasaran.
“Jika anda berfikir tentang cabaran pemain awan ini, mereka tidak boleh hanya memikirkan tentang Singapura, mereka juga perlu memikirkan pusat data global mereka,” katanya sambil menambah bahawa sebagai sesuatu yang dianggap kilang AI nasional, Singtel akan dapat bergerak lebih pantas untuk menerima pakai teknologi baru.
Tambahan pula, kata Encik Chang, selain mempunyai kapasiti GPU yang mencukupi, syarikat telekomunikasi itu boleh memastikan sambungan pantas dan selamat untuk pelanggannya kerana ia mempunyai akses kepada prasarana rangkaian, seperti teras 5G dan rangkaian selamat kuantum.
Salah satu MOU yang ditandatangani ialah dengan Pusat Pembuatan Semula dan Teknologi Termaju, Institut Teknologi Pembuatan Singapura, Persekutuan Pembuatan Singapura (SMF), dan Institut Teknologi Singapura (SIT) untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan AI untuk Pembuatan Termaju.
Singtel menjangkakan 150 syarikat daripada rangkaian SMF akan terlibat dalam percubaan dengan pelajar dan ahli akademik daripada SIT dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Mereka akan membangunkan model dan aplikasi AI pintar untuk sektor itu, katanya.
Syarikat itu juga bekerjasama dengan pemula AI seperti AlphaSense, H2O.AI, Hippocratic AI dan Hive AI untuk melancarkan perisian, aplikasi, alatan dan model untuk pelanggan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg