Siswazah baru yang memulakan kerjaya pada 2025 bakal menikmati lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor utama seperti teknologi, kemampanan, pemasaran dan penjagaan kesihatan, menurut pakar kerjaya dan pengambilan pekerja.
Naib presiden kanan bagi Asia-Pasifik di syarikat pengurusan gaji dan modal insan ADP, Cik Jessica Zhang, dan pengurus negara di firma pengambilan pekerja ManpowerGroup Singapore, Cik Linda Teo, menonjolkan bahawa tenaga hijau dan kecerdasan buatan (AI) merupakan bidang yang dijangka mempunyai permintaan tinggi bagi siswazah baru pada 2025.
Menurut Cik Zhang, impian Singapura menjadi hab teknologi sedunia, sasaran Pelan Hijau Singapura 2030 dan penduduk semakin tua di sini akan meningkatkan permintaan bagi siswazah baru dalam peranan melibatkan AI, sains data, keselamatan siber, tenaga boleh diperbaharui dan teleperubatan, lapor The Straits Times (ST).
Di laman web pencarian kerja Indeed, senarai jawatan kerja bidang jualan dan pemasaran mencatat pertumbuhan tertinggi pada 2024, melonjak 127 peratus antara November 2023 dan November 2024, menurut pakar kerjaya Indeed, Encik Saumitra Chand.
Jawatan kejuruteraan pembelajaran mesin meningkat kedua paling tinggi dalam tempoh sama, naik 83 peratus, diikuti jawatan pemasaran digital, yang meningkat 58 peratus.
Siswazah baru akan mempunyai lebih banyak peluang dalam peranan melibatkan pembelajaran mesin dan pemasaran, sedang Singapura mempertingkat usaha pendigitalan dan e-dagang negara, kata Encik Chand.
Penolong pemasaran dijangka menikmati gaji permulaan $2,500 hingga $3,500 sebulan pada 2025, menurut panduan gaji Singapura 2024-2025 oleh firma pengambilan pekerja Persolkelly.
Dalam pada itu, pekerjaan bidang keselamatan siber dan AI biasanya menawarkan gaji permulaan $4,500 hingga $6,000 sebulan bagi pemegang ijazah dan $4,500 hingga $5,000 sebulan bagi mereka yang tidak mempunyai ijazah, menurut ManpowerGroup.
Pekerjaan bidang sains data pula biasanya memberi gaji permulaan $4,000 hingga $5,000 sebulan kepada mereka yang berijazah, dan $4,000 hingga $4,500 sebulan kepada mereka yang tidak berijazah.
Siswazah baru yang bekerja dalam bidang tenaga hijau biasanya mempunyai ijazah dan meraih gaji $3,500 hingga $5,500 sebulan, kata ManpowerGroup.
Pengarah projek di penyedia perkhidmatan kerjaya Avodah People Solutions, Encik Gerald Tan, menarik perhatian bahawa selain teknologi dan kemampanan, “sektor penjagaan di Singapura juga menyediakan permintaan kukuh untuk pekerja memandangkan keperluan penduduk kita yang semakin tua, di samping penekanan lebih besar terhadap kesejahteraan dan kesihatan”.
Siswazah baru boleh menjangka majikan menyediakan faedah lebih meluas sebagai cara memikat pekerja muda, kata beberapa pakar.
“Semakin banyak pertubuhan kini menawarkan pakej berdaya saing, termasuk faedah penjagaan kesihatan, program kesejahteraan dan peluang pembangunan kerjaya untuk memenuhi jangkaan karyawan muda,” kata Encik Chand.
Contoh peluang pembangunan kerjaya yang diberikan ialah program rotasi, atau pusingan kerja, dan daya usaha latihan berstruktur, yang kini menjadi tawaran biasa, tambahnya.
Program pusingan kerja membolehkan pekerja melalui pelbagai peranan atau jabatan bagi meraih kemahiran dan pengalaman yang pelbagai.
Menurut Cik Teo, lebih banyak syarikat juga menawarkan aturan kerja fleksibel, seperti kerja jarak jauh dan jadual fleksibel, selain mengutamakan daya usaha kepelbagaian dan inklusiviti, bagi menarik dan mengekalkan pekerja muda.
Namun, walaupun peluang dalam pelbagai sektor semakin cerah, beberapa bakal siswazah menyatakan mereka akan mengutamakan kerjaya yang menepati minat dan matlamat peribadi mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg