Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siswazah SIT keluar dari zon selesa, bantu golongan memerlukan di luar S’pura

Sahut cabaran kendali ekspedisi untuk sukarelawan belia di Bukit Sampah, Lombok
Oct 2, 2024 | 5:30 AM
Siswazah Institut Teknologi Singapura (SIT) dalam bidang kejuruteraan awam, Encik Mohammad Zafir Mohammad Zahid, 25 tahun, ingin lebih mendekati dan membantu masyarakat berkeperluan khas di luar sempadan Singapura.
Siswazah Institut Teknologi Singapura (SIT) dalam bidang kejuruteraan awam, Encik Mohammad Zafir Mohammad Zahid, 25 tahun, ingin lebih mendekati dan membantu masyarakat berkeperluan khas di luar sempadan Singapura. - Foto BH oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Sebelum usianya bertambah dan disibukkan dengan tuntutan kerjaya, siswazah Institut Teknologi Singapura (SIT) dalam bidang kejuruteraan awam, Encik Mohammad Zafir Mohammad Zahid, 25 tahun, mengisi waktu senggang dengan kerja sukarela.

Sebagai Presiden APEX Mentors, sebuah pertubuhan pembimbing sukarelawan yang dibangun sejak 2007, Encik Zafir mengajar tuisyen secara sukarela bagi murid yang akan menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Selain membantu kanak-kanak dalam pembelajaran mereka, APEX Mentors juga menganjurkan kegiatan sukarela di luar negara melalui APEXpedition, untuk mendekati dan membantu masyarakat memerlukan di Lombok, Indonesia dan usaha itu disokong Emaan Catalyst Community (ECC).

ECC ditubuhkan pada 2017 sebagai Emaan Foundation Limited (EFL) untuk menyatukan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Emaan Inspection (EI) di Singapura dan Kemboja sejak 2015.

Dengan skop tanggungjawab yang semakin meningkat dan sokongan yang kian bertambah, pertubuhan itu dijenamakan semula pada 2019.

Sebagai pertubuhan yang berpangkalan di Singapura dengan jangkauan serantau, ECC menyokong peningkatan taraf hidup melalui penyediaan pendidikan dan kebajikan masyarakat kurang berkemampuan bagi mendapat perkhidmatan dan membina kapasiti pertubuhan sosial.

Menurut Encik Zafir sebagai Presiden APEX Mentors, demi meninjau kebolehan mentor di bawah pimpinannya, ekspedisi kali ini bakal mencabar zon selesa anggotanya dan bukan sekadar bercuti dan mendaki gunung di luar sempadan Singapura sahaja.

“Sepanjang pembelajaran perkhidmatan saya di beberapa negara, saya dapat menggarap ilmu baru mengenai keadaan hidup masyarakat di luar. 

“Hal ini telah mencelikkan pandangan saya tentang kehidupan masyarakat di luar Singapura dan membakar semangat saya untuk berkhidmat kepada mereka secara tulus,”  kongsi Encik Zafir ketika diwawancara Berita Harian (BH) di pejabat SPH Media pada 27 September.

Pada Ogos, Encik Zafir telah menyahut cabaran ke Bukit Sampah di Lombok, Indonesia, dalam satu projek peninjauan bersama ECC selama lima hari.

Ketika menyingkap pengalamannya di Bukit Sampah, beliau berkata: “Apabila saya ke Lombok, ia seperti yang saya jangkakan, cuma keadaan sebenar di sana membuat saya lebih terkesan. 

Penduduk di sekitar Bukit Sampah, Lombok, Indonesia, sudah terbiasa mengutip sampah sarap di bukit setinggi empat tingkat itu di bawah panas matahari demi kelangsungan hidup sehari-hari.
Penduduk di sekitar Bukit Sampah, Lombok, Indonesia, sudah terbiasa mengutip sampah sarap di bukit setinggi empat tingkat itu di bawah panas matahari demi kelangsungan hidup sehari-hari. - Foto MOHAMMAD ZAFIR MOHAMMAD ZAHID

“Bau dari Bukit Sampah yang setinggi empat tingkat itu menguasai seluruh rongga deria saya. Susah untuk saya ceritakan, apalagi dibayangkan,” singkap Zafir.

Menurutnya penduduk kampung di sekitar Bukit Sampah menghabiskan masa mereka di bawah terik matahari dengan mengutip sampah atau barangan berharga dalam timbunan sampah sarap.

Setiap barang berharga seperti botol plastik atau kaca yang dijumpai akan dijual pada harga $1.50 setiap kilogram dan inilah menjadi hasil cari makan bagi penduduk di sekitar Bukit Sampah.

“Suatu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika saya melihat seorang wanita separuh umur yang mengambil sotong dari dalam bukit sampah. Wajahnya kelihatan bahagia.

Seorang wanita separuh umur terlihat begitu bahagia membawa sotong yang dikutip dalam timbunan sampah sarap di Bukit Sampah, Lombok.
Seorang wanita separuh umur terlihat begitu bahagia membawa sotong yang dikutip dalam timbunan sampah sarap di Bukit Sampah, Lombok. - Foto tangkap layar MOHAMMAD ZAFIR MOHAMMAD ZAHID

“Ini yang membuat saya tergamam mengenang betapa bertuahnya kita yang tinggal di Singapura dengan kehidupan yang serba lengkap dan bersih,” ulas Encik Zafir.

“Sejak kepulangan saya dari Lombok, saya cuba untuk elak menggunakan beg plastik. Jika saya pergi ke pasar raya, saya akan sediakan beg sendiri,” tambahnya. 

Antara 15 dengan 25 Disember ini, Encik Zafir dan 18 anggota APEX Mentors serta pegawai ECC, akan melancarkan fasa kedua ekspedisi sukarela di Bukit Sampah, Lombok, dan sekitar kawasan Gunung Rinjani.

Mereka akan memberi tumpuan kepada dua cabang ilmu iaitu pengurusan alam sekitar dan pendidikan bermutu.

Berdekatan dengan Bukit Sampah, Encik Zafir serta pasukannya akan mengadakan karnival pembelajaran di SDN 2 Suka Makmur dan Yayasan Pondok Pesantren Zainul Hafizin.

“Harapan saya adalah untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak di sekolah mengenai kebersihan diri dan mengaitkan hal ini dengan pengertian agama, kerana kebersihan itu merupakan separuh daripada iman,” kongsi Encik Zafir.

Dalam pada itu, mereka juga akan menanam 500 pokok dalam tempoh dua hari bersama Sekolah Alam Rinjani, pertubuhan belia yang bertanggungjawab dalam pemuliharaan alam sekitar di Sembalun.

Menyentuh pesanannya kepada anak muda, Encik Zafir berkata: “Selagi ada tenaga dan kudrat, kita perlu memanfaatkan kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Jika bukan sekarang, bila lagi?”

Bagi sesiapa yang berminat untuk menaja keperluan dan kegiatan dalam projek ini boleh hubungi apexmentors@gmail.com.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg