Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal 1MDB: Jel bagi bekas pegawai Goldman Sachs

May 30, 2025 | 3:18 PM
Mantan ketua operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara, Timothy Leissner, tiba di Mahkamah Daerah Timur New York, Amerika Syarikat, pada 29 Mei.
Mantan ketua operasi Goldman Sachs di Asia Tenggara, Timothy Leissner, tiba di Mahkamah Daerah Timur New York, Amerika Syarikat, pada 29 Mei. - Foto AFP

NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat pada 29 Mei menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap mantan pegawai bank Goldman Sachs yang terlibat dalam skandal dana kekayaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hukuman itu dijatuhkan selepas pihak pendakwa memohon pengurangan hukuman berikutan kerjasama yang telah diberikan oleh tertuduh.

Timothy Leissner, 55 tahun, individu utama di sebalik skim rasuah besar-besaran membabitkan 1MDB, akan mula menjalani hukuman penjara 24 bulan pada September ini, menurut jurucakap Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ).

Leissner, yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di Amerika, berdepan hukuman maksimum 25 tahun penjara, lapor AFP.

Komplot 1MDB itu melibatkan penyelewengan dana berbilion dolar yang sepatutnya digunakan untuk projek tenaga dan prasarana, namun sebaliknya disalah guna untuk pembelian kapal layar, barang kemas, dan barangan mewah lain.

Kes itu membawa kepada “satu-satunya pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs dalam sejarah 156 tahunnya”, menurut firma itu dalam pemfailan kepada mahkamah yang menyokong hukuman berat terhadap tertuduh.

Namun, pendakwa memohon hukuman lebih ringan atas kerjasama “luar biasa” yang diberikan Leissner dalam siasatan itu, selepas ejen persekutuan menahannya sebaik sahaja dia tiba di Washington pada Jun 2018.

Pihak pemerintah dalam hujahnya menyebut tentang perbincangan panjang yang diadakan bersama Leissner, di mana dia menyerahkan peranti elektronik dan “menunjukkan ingatan luar biasa serta bercakap dengan tepat mengenai pengetahuannya tentang skim tersebut,” yang termasuk berulang kali menipu rakan sekerja di Goldman mengenai tindakannya, kata DOJ.

Leissner memberi keterangan menentang Ng Chong Hwa, atau ‘Roger Ng’, seorang lagi bekas pegawai bank Goldman, dalam perbicaraan di New York pada Februari 2022. 

Ng telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas disabit bersalah, tetapi belum memulakan tempoh hukumannya, jelas DOJ.

Leissner turut mendedahkan maklumat yang membawa kepada pertuduhan di Amerika terhadap Low Taek Jho, seorang ahli perniagaan Malaysia dikenali sebagai ‘Jho Low’ yang masih bebas.

Dalam surat kepada mahkamah, Leissner mengakui bahawa jenayahnya itu “sangat teruk” dan menyatakan kekesalannya kerana telah kehilangan banyak masa bersama anak-anaknya dan ibu bapanya yang semakin tua.

“Saya terpaksa mengakui secara terbuka bahawa saya telah bantu mencuri berbilion dolar bukan sahaja daripada individu, bahkan dari sebuah negara,” kata Leissner. 

Namun, Goldman Sachs menolak kerjasama Leissner.

“Apapun akibat peribadi dan profesional yang dialami Leissner dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia adalah hasil semula jadi dan langsung daripada tindakan jenayahnya yang berani dan mencabar undang-undang, bukan kerjasamanya,” kata Goldman. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg