Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib menang rayuan cabar kewujudan titah adendum

Titah adendum bolehkan beliau jalani baki hukuman penjara di rumah; Mahkamah Tinggi KL akan dengar merit semakan kehakiman itu pada 13 Jan
Jan 6, 2025 | 6:36 PM
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, tiba di Istana Kehakiman Putrajaya pada 6 Januari bagi prosiding pendengaran rayuan anak guamnya itu berkaitan kewujudan titah adendum, yang membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, tiba di Istana Kehakiman Putrajaya pada 6 Januari bagi prosiding pendengaran rayuan anak guamnya itu berkaitan kewujudan titah adendum, yang membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah. - Foto BERNAMA

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Januari membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6, Encik Najib Tun Razak, untuk mengesahkan kewujudan titah adendum atau perintah tambahan yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara yang sedang dijalaninya sejak 2022, sebagai tahanan di rumah.

Menerusi keputusan majoriti 2-1 daripada panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Azizah Nawawi, memutuskan supaya kes Encik Najib itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman, bagi membolehkan perintah tambahan itu dilaksanakan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Januari ini untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Keputusan Mahkamah Rayuan dibuat selepas peguam Encik Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, membacakan titah adendum yang dikatakan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang membenarkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Tan Sri Muhammad Shafee turut mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya titah adendum itu.

Menurutnya, surat bertarikh 4 Januari lalu itu dihantar kepada anak sulung Encik Najib, Datuk Mohamad Nizar, oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Walaupun tanda tanya berhubung kewujudan titah adendum itu hampir berakhir, Umno masih belum berpuas hati apabila Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Januari memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, untuk memberikan pengampunan penuh kepada Encik Najib.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pula menafikan tohmahan pembangkang bahawa kerajaan menyembunyikan titah adendum dikurniakan Sultan Abdullah kepada Encik Najib.

Beliau menegaskan bahawa Jabatan Penjara hanya menerima dua arahan pengurangan hukuman penjara dan pengurangan denda terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) itu pada 2 Februari 2024.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu memberi kelegaan kepada Encik Najib dan penyokongnya selepas Istana Negara pada 3 Januari menegaskan mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Ibrahim pada mesyuarat akan datang.

Polemik mengenai perintah tambahan itu bermula selepas Encik Najib dikurniakan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Abdullah pada 29 Januari 2024, bagi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($63.9 juta) yang dikenakan terhadapnya.

Keputusan Lembaga Pengampunan itu menyaksikan hukuman penjara Encik Najib dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda berkurangan kepada kepada RM50 juta.

Menyusuli itu Encik Najib kemudian mendakwa dikurniakan kebenaran menerusi perintah tambahan Sultan Abdullah selaku Agong ketika itu, untuk beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Bagaimanapun, pengesahan mengenai kewujudan titah adendum itu berlarutan hampir setahun dan mencetuskan polemik selepas pengakuan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)-Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, dilihat bercanggah.

Pemimpin Kerajaan daripada PH terutama Datuk Saifuddin Nasution, menafikan kewujudan titah adendum itu di Dewan Rakyat pada November 2024 dan menyifatkan ia hanyalah khabar angin, selepas Mahkamah Tinggi memutuskan demikian.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit pada April 2024, bagi menyokong permohonan Encik Najib untuk mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Selain kes SRC International, Encik Najib pada 30 Oktober 2024 diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas 25 tuduhan membabitkan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion yang dihadapinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg