PM Wong terajui Majlis AI Kebangsaan baru, pacu transformasi sektor utama ekon negara
PM Wong terajui Majlis AI Kebangsaan baru, pacu transformasi sektor utama ekon negara
Tumpuan diberi kepada 4 sektor – perkilangan lanjutan, ketersambungan, kewangan dan penjagaan kesihatan
Sebuah Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan baru, yang akan dipengerusikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan dibentuk untuk menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI negara ini.
Ini termasuk menyelia pembangunan dan pelaksanaan Misi AI nasional yang akan dilancarkan untuk memacu transformasi sektor-sektor utama ekonomi dengan menggunakan teknologi tersebut.
Tumpuan akan diberikan kepada empat sektor – perkilangan lanjutan, ketersambungan, kewangan dan penjagaan kesihatan.
Contohnya, dalam sektor perkilangan lanjutan, mereka menyasar mempercepatkan inovasi dan membina kilang yang terbaik yang boleh bersaing di peringkat sejagat.
Sementara itu, dalam sektor ketersambungan dan logistik pula, AI boleh bantu mengautomasikan operasi lapangan terbang dan pelabuhan laut serta menggerakkan barangan dengan lebih berkesan.
Mengumumkannya dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada 12 Februari, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah merealisasikan perkara tersebut akan memerlukan pemerintah berusaha dalam cara yang berbeza.
“Kita akan menyemak semula peraturan dan mewujudkan ruang ujian (sandbox), supaya syarikat boleh menguji inovasi AI dengan selamat dan bertanggungjawab.
“Dalam pemerintah, kita akan menyelaraskan dengan lebih baik usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), kawal selia, dan promosi pelaburan kita supaya semua agensi bertindak seiring dan ke arah matlamat yang sama.
“Ini memerlukan usaha nasional yang diselaraskan. Oleh itu, kita akan menubuhkan Majlis AI Kebangsaan baru, yang dipengerusikan oleh saya sendiri, bagi menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI Singapura,” kata beliau.
Majlis baru tersebut akan dianggotai enam pemegang jawatan politik.
Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat; dan Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.
Majlis tersebut juga akan memanfaatkan kepakaran sektor privet. Butiran lanjut akan diumumkan kelak.
Dengan AI berkembang maju dengan kelajuan yang luar biasa, Encik Wong berkata potensinya amat besar untuk meningkatkan daya penghasilan dan mengubah kehidupan.
Ini bagaimanapun telah membuat pekerja bimbang AI akan menggantikan pekerjaan mereka – keprihatinan nyata yang perlu ditangani secara langsung.
Namun begitu, Singapura tidak boleh bertindak dengan rasa takut kerana jika ketidakpastian dibiarkan melumpuhkan keadaan, negara ini akan ketinggalan di belakang, tambah beliau.
“Kita mesti bertindak dengan jelas dan tegas. AI merupakan alat yang berkuasa tetapi ia tetap sekadar alat. Ia mesti memelihara kepentingan negara dan rakyat kita.
“Kita akan menentukan bagaimana AI dibangunkan dan digunakan di Singapura. Kita akan menetapkan peraturan jelas untuk memastikan ia digunakan secara bertanggungjawab dan selamat. Dan kita akan memastikan manfaatnya dikongsi secara meluas dalam kalangan masyarakat.
“Jika dimanfaatkan dengan baik, AI akan menjadi kelebihan strategik bagi Singapura. Ia boleh membantu kita mengatasi kekangan struktur kita – sumber asli yang terhad, penduduk menua dengan pantas, dan pasaran pekerja yang ketat,” kata beliau.
Bagi melakukan perkara itu, Encik Wong berkata Singapura mesti melabur dengan sengaja dan disiplin – bukan sekadar mengikuti apa yang dilakukan orang lain, namun dengan memanfaatkan kekuatan Singapura.
“Kelebihan kita bukan terletak pada usaha membina model bidang termaju paling besar. Ia terletak pada penggunaan AI secara berkesan, bertanggungjawab, dan pantas.
“Singapura boleh menjadi hab yang dipercayai di mana syarikat dan penyelidik berkumpul untuk membangun, menguji, dan menggunakan huraian AI yang memberi kesan - dan melakukannya dengan lebih pantas dan lebih tersusun berbanding banyak negara lebih besar,” kata beliau.
Encik Wong berkata perkara itu sudah pun berlaku, dengan lebih 60 firma, termasuk Google dan Microsoft, telah membentuk Pusat Kecemerlangan AI di sini hari ini.
Namun, untuk merealisasikan sepenuhnya potensi AI, Singapura perlu mengatur dirinya “di peringkat nasional, dan bergerak dengan pantas dan skala”.
Dalam usaha mempercepatkan penggunaan AI oleh perusahaan dan memperkasa pekerja dalam sebuah ekonomi yang didaya AI, pemerintah akan menyediakan beberapa sokongan dan inisiatif, kata Encik Wong.
Antaranya, program Peneraju AI baru akan dilancarkan untuk memberi sokongan yang disesuaikan kepada syarikat dengan cita-cita memanfaatkan AI untuk menjalankan transformasi perniagaan secara menyeluruh.
Sementara itu, Skim Inovasi Perusahaan (EIS) akan diperluaskan untuk merangkumkan perbelanjaan AI sebagai kegiatan yang layak untuk syarikat menerima potongan cukai bagi tahun penilaian 2027 dan 2028, dihadkan pada $50,000 setahun.
Bagi pekerja pula, laman SkillsFuture akan direka semula untuk menjadikan laluan pembelajaran AI lebih jelas dan mudah diakses supaya rakyat Singapura boleh mencari kursus yang sepadan dengan keperluan kerja dan tahap kecekapan mereka dengan lebih cepat.
Encik Wong menambah akses percuma selama enam bulan kepada alat AI premium juga akan disediakan kepada mereka yang menyertai kursus latihan AI yang terpilih.
Ini akan membolehkan mereka berlatih, bereksperimen dan menggunakan ilmu yang telah dipelajari mengenai AI.
“Pemerintah menyokong pekerja kita sepanjang tempoh peralihan ini. Tiada sesiapa pun yang perlu mengharungi perubahan ini sendirian.
“Kami akan membantu rakyat Singapura memperoleh kemahiran baru, menyesuaikan diri dengan peranan baru, dan menggunakan AI sebagai alat untuk menjadi lebih berdaya penghasilan tinggi dan berkesan di tempat kerja.
“Di mana pekerjaan mungkin terjejas, kami akan menguruskan peralihan tersebut dengan teliti, dan bekerjasama rapat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) serta kesatuan sekerja untuk membantu pekerja beralih ke peluang baru.
“Komitmen kami jelas: setiap rakyat Singapura yang sanggup menyesuaikan diri dan belajar akan terus memperoleh pekerjaan baik dan menyara hidup dengan baik,” kata beliau.
“
“Kita akan menyemak semula peraturan dan mewujudkan ruang ujian (sandbox), supaya syarikat boleh menguji inovasi AI dengan selamat dan bertanggungjawab. Dalam pemerintah, kita akan menyelaraskan dengan lebih baik usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), kawal selia, dan promosi pelaburan kita supaya semua agensi bertindak seiring dan ke arah matlamat yang sama. Ini memerlukan usaha nasional yang diselaraskan. Oleh itu, kita akan menubuhkan Majlis AI Kebangsaan baru, yang dipengerusikan oleh saya sendiri, bagi menyediakan hala tuju strategik dan memacu agenda AI Singapura.”
