Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) – pertubuhan ekonomi sektor swasta terbesar di Malaysia – telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Politeknik Singapura (SP), yang pertama dengan institusi pendidikan di Singapura.
MOU itu, yang ditandatangani pada hari pertama acara Transformasi Perindustrian Asia-Pasifik (Itap) pada 14 Oktober, akan memberi rangsangan kepada tenaga kerja di Singapura dan Malaysia dengan meningkatkan kemahiran dalam automasi, analisis data dan pembuatan pintar.
Majlis menandatangani perjanjian itu, yang diadakan di Singapore Expo, disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, lapor The Business Times.
Dalam satu kenyataan akhbar, SP berkata perkongsian itu akan “memupuk graduan sedia perusahaan dan memajukan perubahan tenaga kerja” dengan mempromosikan projek penyelidikan dan pembangunan bersama, serta menganjurkan bengkel, sesi latihan dan seminar.
Perikatan itu juga akan menyokong inisiatif baru Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bertujuan meningkatkan perdagangan rentas sempadan dan membangunkan ekosistem perniagaan serantau.
Penandatanganan MOU ini dibuat ketika Malaysia ingin melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi untuk perusahaan teknologinya, dengan matlamat meningkatkan negara itu dalam rantaian nilai semikonduktor global dan mewujudkan hab cip yang terkemuka.
Pada Mei 2024, kerajaan Malaysia mengumumkan rancangan untuk melabur sekurang-kurangnya RM25 bilion ($7.6 bilion) sepanjang dekad akan datang sebagai sebahagian Strategi Semikonduktor Nasional.
Presiden FMM, Encik Soh Thian Lai, berkata kerjasama dengan politeknik itu langkah penting dalam memodenkan sektor pembuatan Malaysia.
“(Ia) mengukuhkan komitmen kami terhadap kerjasama serantau, khususnya melalui JS-SEZ, yang akan membuka peluang baru untuk perdagangan rentas sempadan dan pertumbuhan mampan,” tambahnya.
JS-SEZ telah dicadangkan pada Januari 2024, apabila Singapura dan Malaysia menandatangani MOU yang bertujuan meningkatkan aliran rentas sempadan bagi barangan dan perdagangan.
Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan pada akhir 2024.
Zon itu dijangka meliputi kawasan seluas lebih 3,500 kilometer persegi di selatan Johor.
Timbalan pengetua pembangunan SP, Cik Georgina Phua, berkata:
“Dengan mengukuhkan hubungan antara perusahaan dengan akademia dan menggalakkan pemodenan perusahaan, kami menyediakan graduan kami kemahiran canggih yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap pembuatan yang sentiasa berubah.”
Selain MOU dengan FMM, SP menandatangani lima perjanjian lain di Itap pada 14 Oktober.
Tandatangan perjanjian itu adalah dengan Singtel, Akademi Latihan Pembuatan Termaju, Cragar Industries, Pusat Transformasi Perusahaan Antarabangsa dan Monitor ERP.
Dalam ucapan pada permulaan Itap, Encik Heng menyatakan bahawa pembuatan terletak pada perhubungan dua trend bersilang utama iaitu revolusi digital dan peralihan hijau.
“Aplikasi AI (kecerdasan buatan) pasti akan membentuk semula sektor pembuatan,” katanya, sambil menambah bahawa seorang eksekutif teknologi Jepun yang ditemuinya di Tokyo menyifatkan AI sebagai pengubah permainan dalam bidang penemuan, kreativiti dan produktiviti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg