SPH Media dan Marina Bay Sands (MBS) telah menandatangani perjanjian untuk menganjurkan acara dan kempen bersama yang menawarkan pengalaman premium merangkumi pelbagai sektor.
Memorandum Persefahaman (MOU) itu ditandatangani pada 5 Oktober dan akan disusuli dengan siri inisiatif bersama di bawah kedua-dua jenama tersebut, yang merangkumi sektor layanan tamu, gaya hidup, runcit dan hiburan, kata SPH Media dalam satu kenyataan pada 6 Oktober.
Akhbar tempatan termasuk Berita Harian (BH) dan The Straits Times (ST) adalah antara penerbitan di bawah kumpulan media ini.
Inisiatif berjenama bersama itu akan diadakan di lokasi resort bersepadu tersebut melalui program keahlian kesetiaan mereka, ‘Sands LifeStyle’.
Ia termasuk pengalaman menjamu selera premium yang disusun khas, seminar dan bengkel yang tertumpu kepada layanan tamu, trend makanan dan seni kulinari, serta kelas pakar yang dikendalikan kalangan selebriti.
Kerjasama itu turut merangkumi kandungan berjenama yang memanfaatkan jangkauan audiens SPH Media serta acara ikonik yang dianjurkan resort bersepadu tersebut, lapor ST.
Melalui kerjasama itu, SPH Media dan ‘Sands LifeStyle’ akan mengatur pengalaman eksklusif yang menghubungkan pemimpin, pembuat keputusan, dan penggerak trend antarabangsa daripada pelbagai bidang kepakaran, merangkumi gaya hidup mewah, layanan tamu dan hiburan, kata kumpulan media itu.
“Kerjasama ini bertujuan menawarkan nilai luar biasa kepada audiens serta rakan strategik, sambil memperkukuh kedudukan Singapura sebagai destinasi utama dalam gaya hidup dan hiburan,” kata SPH Media.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg