Singapore Shopping Centre sekali lagi cuba melancarkan jualan kolektif, dengan harga rizab $200 juta, menurut pengumuman ejen pemasaran ETC pada 4 Disember.
Harga panduan terbaru itu kekal sama seperti percubaan jualan pada Ogos lalu (2025), iaitu sekitar 21.6 peratus lebih rendah daripada harga rizab $255 juta yang disenaraikan dalam percubaan jualan pada 2019 dan 2020.
Pada harga rizab $200 juta, kadar tanah adalah antara $2,800 dengan $3,500 bagi setiap kaki persegi bagi setiap nisbah plot (psf ppr), bergantung pada penggunaan pembangunan dan tahap penggunaan yang diluluskan.
Dengan keluasan 2,449.8 meter persegi, tapak tersebut diperuntukkan untuk kegunaan komersial dengan nisbah plot 4.2 di bawah Rancangan Induk 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), serta kawalan ketinggian bangunan sehingga enam tingkat.
Tapak itu boleh dibangunkan semula sebagai hotel dengan nisbah plot yang sama, atau bangunan sedia ada boleh diubah suai untuk kegunaan hotel berdasarkan keluasan lantai kasar sekarang, yang bersamaan dengan nisbah plot 5.1296, lapor The Business Times (BT).
Pecahan lot hartanah komersial secara umumnya tidak dibenarkan sepanjang Orchard Road.
Namun, tapak Singapore Shopping Centre terletak di luar zon yang ditetapkan URA, kata ETC, sekali gus memberikan “fleksibiliti yang lebih besar kepada pembeli, termasuk pilihan membahagikan ruang tersebut kepada unit strata jika diperlukan”.
ETC juga mengemukakan pertanyaan kepada pihak berkuasa untuk memperbaharui pajakan kepada tempoh baru selama 99 tahun.
Ketua penasihat pelaburan di ETC, Cik Swee Shou Fern, menekankan kedudukan hartanah tersebut dalam kawasan Orchard Road yang sedang melalui proses pembaharuan.
“Dengan pembukaan semula The Cathay dan *Scape, diikuti pembukaan berperingkat Muzium Negara Singapura serta penjenamaan semula House of Tan Yeok Nee sebagai hab gaya hidup, kawasan sekitarnya jelas memasuki fasa pertumbuhan baru,” katanya.
Terletak di 190 Clemenceau Avenue, bangunan tujuh tingkat itu berada di atas lot sudut bertentangan dengan stesen MRT Dhoby Ghaut.
Bangunan itu mempunyai kelebihan lokasi di persimpangan tiga jalan, dengan kira-kira 170 meter bahagian hadapan menghadap Clemenceau Avenue, Penang Road dan Penang Lane.
Ia juga mempunyai keluasan lantai kasar sekitar 12,566.47 meter persegi.
Cik Swee menambah aset dengan lokasi strategik di kawasan tersebut “sangat sukar didapati” dan menjangkakan minat daripada pelabur tempatan dan antarabangsa yang ingin menjadi sebahagian daripada fasa transformasi seterusnya di kawasan tersebut.
Tapak tersebut dikelilingi oleh mercu tanda utama, termasuk Plaza Singapura, Istana, Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Sekolah Seni Singapura (Sota).
Tender tapak itu akan ditutup pada 16 Januari 2026, 3 petang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg