Singapura akan bina taman logistik lapangan terbang kedua mulai 2030 bagi meningkatkan kapasiti taman sedia ada dan meningkatkan peranan Lapangan Terbang Changi sebagai hab kargo udara serantau.
Ini berlaku pada masa pengilang di seluruh dunia meneroka lokasi baru untuk pengeluaran mereka, yang akan mengubah aliran perdagangan dan logistik dan membawa kepada jumlah kargo lebih tinggi yang melalui Singapura.
Taman Logistik Lapangan Terbang Singapura yang baru akan mewujudkan kapasiti baru untuk memberi perkhidmatan kepada lebih banyak syarikat logistik dan menggalakkan mereka menubuhkan pusat pengedaran serantau mereka di sini, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada 3 Oktober.
Beliau berkata demikian di majlis yang julung kali diadakan, Singapore Supply Chain Connect 2024, anjuran pemerintah yang menghimpunkan kira-kira 400 pemimpin rantaian bekalan untuk membincangkan bagaimana Asia Tenggara dan Singapura berada pada kedudukan untuk memacu pertumbuhan dalam sektor itu, lapor The Straits Times.
Taman logistik lapangan terbang ialah zon khusus berhampiran lapangan terbang yang mengoptimumkan aliran kargo udara dan mengurangkan kos dan masa persinggahan untuk memproses barangan.
Seperti taman logistik lapangan terbang sedia ada, kemudahan baru itu akan mempunyai status zon perdagangan bebas, membolehkan syarikat logistik mendapat manfaat daripada faedah seperti pengurusan taman bermutu tinggi serta insentif kos dan cukai.
Taman logistik baru itu dijangka melengkapi zon perusahaan akan datang di Changi East dan akan menjadi sebahagian daripada Taman Penerbangan Changi, merangkumi Pusat Pengangkutan Udara Changi dan taman logistik 26 hektar sedia ada.
Taman logistik pertama, siap pada 2003, kini beroperasi pada kapasiti penuh.
Secara bersama, kemudahan ini akan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo keseluruhan Lapangan Terbang Changi daripada 3 juta tan setahun pada masa ini kepada 5.4 juta tan setiap tahun.
Taman logistik kedua itu akan “meningkatkan kerancakan ekosistem hab kargo udara Changi dan membantu mengekalkan perkaitan dan kedudukan pusat Singapura sebagai nod amat penting dalam rantaian bekalan global”, kata Encik Gan.
Beliau menambah bahawa Singapura kini merupakan hab kargo udara terbesar di Asia Tenggara, dengan lebih 6,900 penerbangan mingguan dikendalikan oleh hampir 120 syarikat penerbangan.
Singapura juga berminat menarik syarikat logistik untuk menubuhkan hab pengurusan rantaian bekalan mereka di sini.
Encik Gan menyatakan bahawa syarikat sedunia semakin memilih Singapura untuk tujuan ini, memetik syarikat seperti 3M, Schneider Electric, Applied Materials, Asahi dan Zuellig Pharma.
Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) bekerjasama dengan syarikat logistik sedunia untuk membangunkan keupayaan baru dan membina rantaian bekalan yang lebih kukuh dan lebih mampan yang berpangkalan di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg