Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 50,000 pekerja kini bekerja di sektor penerbangan S’pura pasca-Covid-19

Syarikat daripada segmen berbeza giat ambil kakitangan isi jawatan seperti juruterbang, pramugari dan penyelaras kargo
Oct 1, 2024 | 8:16 PM
Tenaga kerja dalam sektor penerbangan Singapura telah kembali ke paras pra-Covid-19 sejak Mac 2024, dengan sebahagian besar majikan masih giat mengambil pekerja.
Tenaga kerja dalam sektor penerbangan Singapura telah kembali ke paras pra-Covid-19 sejak Mac 2024, dengan sebahagian besar majikan masih giat mengambil pekerja. - Foto ST

Tenaga kerja dalam sektor penerbangan Singapura telah kembali ke paras pra-Covid-19 sejak Mac 2024, di kala sektor ini terus meningkatkan usaha pengambilan pekerja untuk menyokong permintaan meningkat yang berterusan.

Ini lebih-lebih lagi sedang Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi yang baru bakal dibina pada separuh pertama 2025 dan bakal siap pada pertengahan 2030 – seperti yang diumum Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Semasa berucap dalam majlis makan malam sempena ulang tahun Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) ke-40 pada 6 September, beliau berkata T5 mampu menampung 50 penumpang secara tahunan, di samping 90 juta penumpang yang ditampung Terminal 1 hingga 4 secara keseluruhan setiap tahun.

Sebagai respons kepada pertanyaan Berita Harian (BH), Pengarah (Industri Penerbangan) CAAS, Cik Angela Ng, berkongsi dalam satu jawapan bertulis bahawa sektor penerbangan di sini telah mencapai tenaga kerja melebihi 50,000 pekerja merentasi pelbagai segmen.

Jumlah itu adalah lebih tinggi daripada sekitar 35,000 pekerja yang dicatatkan pada 2019 sebelum pandemik melanda, menukil bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, ketika berucap dalam satu acara di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi pada 2022.

Cik Ng menambah syarikat daripada segmen berbeza sedang giat mengambil pekerja dalam pelbagai peranan, antaranya termasuk juruterbang, pramugari/pramugara dan penyelaras kargo.

Bahkan bagi memacu pengambilan lebih pantas, beliau berkata CAAS telah bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sejak 2022 untuk memadankan mereka yang mencari pekerjaan dengan pihak majikan dalam sektor itu melalui apa yang dikenali sebagai Hab Pekerjaan OneAviation (OACH).

Beliau berkata: “Setakat hari ini, OACH telah membantu lebih daripada 3,000 pencari pekerjaan dan memadankan lebih daripada 1,300 individu bagi peranan dalam sektor penerbangan.”

Ini susulan pemberhentian kakitangan besar-besaran bagi sebahagian besar syarikat dalam sektor itu ketika kemuncak Covid-19 pada 2020.

Misalnya, pada September 2020, Singapore Airlines (SIA) mengumumkan ia memberhentikan sekitar 2,400 pekerja di Singapura merangkumi pelbagai segmen – termasuk memperkecilkan rangkaian penerbangan yang ditawarkan – bagi mengukuhkan kedudukannya bagi fasa pemulihan semula pascapandemik.

Langkah sedemikian diambil di kala sebahagian besar sempadan antarabangsa ditutup kepada pelawat dan Singapura menyaksikan jumlah penumpang lapangan terbang menguncup kepada sekitar 3 juta pada 2021, menurut perangkaan laman rasmi Changi Airport Group.

Namun dengan jumlah penumpang kian kembali ke tahap pra-Covid-19, dengan jumlah pada suku pertama 2024 mengatasi tahap pra-Covid-19, iaitu 16.5 juta penumpang, sektor bersangkutan dalam industri “sedang mempergiat usaha mentransformasikan pekerjaan” dan mempergiatkan usaha pengambilan pekerja, ujar Cik Ng.

Malah SIA dalam Laporan Tahunan 2023/24 menyatakan ia telah mengembangkan jumlah pramugara/pramugari daripada 7,744 pada 2023 kepada 9,458 pada 2024 – iaitu peningkatan sekitar 22.1 peratus.

Ia turut meluaskan pengambilan kakitangan teknikal daripada 2,143 pada 2023 kepada 2,360 pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg