Perjanjian Dagangan Bebas Mercosur-Singapura (MCSFTA), iaitu perjanjian perdagangan antara Singapura dengan sebuah blok utama Amerika Selatan, mula berkuat kuasa antara Singapura dengan Argentina pada 1 November.

Langkah itu menandakan “pencapaian penting dalam hubungan ekonomi Singapura” dengan Amerika Selatan, menurut kenyataan bersama Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) dan Kedutaan Argentina di Singapura pada 1 November.

“Sebagai pengeluar utama hasil pertanian dan makanan, Argentina menyokong usaha Singapura mempelbagaikan sumber import dan memperkukuh daya tahan bekalan makanan. Peluang turut terbuka dalam sektor tenaga, prasarana, logistik, teknologi dan perkhidmatan,” tambah kedua-dua pihak.

Kedua-dua pihak turut menyatakan perniagaan Argentina boleh memanfaatkan kedudukan Singapura sebagai hab serantau untuk meneroka peluang di Asia Tenggara.

Mercosur (Pasaran Bersama Selatan), yang ditubuhkan pada 1991 oleh Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay, mewakili kira-kira 270 juta penduduk.

MCSFTA sudah pun berkuat kuasa antara Singapura dengan tiga lagi negara anggota pengasas Mercosur.

Di bawah perjanjian itu, Mercosur akan menghapuskan tarif import ke atas kira-kira 96 peratus produk dalam tempoh sehingga 15 tahun, dengan sekitar 25 peratus kategori tarif dikecualikan daripada tarif serta-merta.

Perjanjian itu turut menetapkan peraturan asal usul barangan yang seragam dan tatacara kastam lebih telus, memperluas penggunaan tarif keutamaan, meningkatkan kecekapan perancangan rantaian bekalan serta mempercepat pelepasan kastam bagi penghantaran ekspres dan barangan mudah rosak.

“Selain perdagangan barangan, MCSFTA mewujudkan persekitaran lebih baik bagi penyedia perkhidmatan dan pelabur melalui kepastian yang lebih tinggi, ketelusan serta jaminan peluang memasuki pasaran,” menurut METI dan Kedutaan Argentina di Singapura.

Negara-negara yang menandatangani perjanjian itu turut akan bekerjasama dalam bidang keusahawanan, pendigitalan, keselamatan siber, pembangunan mampan serta pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (SME).

MCSFTA memperkukuh lagi hubungan ekonomi Singapura dengan Amerika Selatan, menyusuli Perjanjian Perdagangan Bebas Perikatan Pasifik-Singapura (PASFTA) yang mula berkuat kuasa pada 2025.