Singapura dan Belanda mengesahkan semula hubungan diplomatik yang berkekalan sekian lama dan erat terjalin selama 60 tahun.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, telah menyambut kedatangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Belanda, Encik Dirk Beljaarts, pada 19 Mei, semasa lawatan rasminya ke Singapura.
Dalam pertemuan mereka itu, kededua menteri telah membincangkan peluang bagi mendalami kerjasama dalam inovasi, saling bertukar pandangan tentang dasar teknologi negara, dan berkongsi perspektif tentang iklim pelaburan di kededua negara.
Cik Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran, telah menegaskan bahawa hubungan dua hala yang terjalin selama 60 tahun itu berasaskan kepercayaan bersama, hubungan perdagangan dan pelaburan yang teguh, serta komitmen bersama terhadap perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan.
“Enam dekad hubungan diplomatik kami disokong oleh nilai bersama dan komitmen terhadap perdagangan terbuka yang berasaskan peraturan.
“Ini jelas dapat dilihat melalui kehadiran kukuh dan berkembang pesatnya syarikat Belanda dalam pelbagai sektor perusahaan di Singapura,” kata beliau.
“Saya menantikan peluang untuk meneroka kerjasama baru bersama Belanda dalam bidang-bidang masa depan yang menjadi kepentingan bersama,” tambah Cik Fu, dalam ucapannya di The Fullerton Bay Hotel.
Sebagai rakan kongsi yang berfikiran seiringan dan saling mempercayai, Singapura dan Belanda mempunyai kekuatan yang saling melengkapi dalam pelbagai bidang termasuk maritim, inovasi agriteknologi, semikonduktor, dan sektor berteknologi tinggi yang lain.
Cik Fu berkata: “Dengan masing-masing sebagai laluan ke Asean dan Kesatuan Eropah (EU), saya teruja melakarkan laluan baru dengan Belanda dalam bidang yang sedang berkembang dan tertumpu pada masa depan dengan kepentingan bersama.”
Belanda kini merupakan pelabur EU terbesar di Singapura, dengan hampir 2,000 syarikat Belanda yang berdaftar di Singapura.
Dalam pada itu, Belanda juga adalah destinasi pelaburan kedua terbesar Singapura dalam EU, dengan jumlah pelaburan melebihi $80 bilion.
Semasa lawatan tersebut, Cik Fu turut menghadiri acara meraikan pencapaian syarikat Singapura dan Belanda, Showcase Celebration, yang dianjurkan oleh Kedutaan Belanda di Singapura.
Acara itu mengetengahkan kejayaan kerjasama antara syarikat dari kededua negara dalam bidang kejuruteraan, teknologi, dan penyelesaian industri.
Turut hadir ialah pegawai pemerintah, pemimpin industri, dan usahawan dari Singapura dan Belanda.
Kenyataan bersama oleh kededua menteri turut menekankan kerjasama yang dinamik dan berpandangan jauh, merangkumi pelbagai sektor termasuk logistik, teknologi, agrimakanan, dan pengeluaran lanjutan.
Kededua negara turut beriltizam memperkukuh kerjasama bagi bidang baru dan berdasarkan masa depan seperti pendigitalan, inovasi agriteknologi, dan maritim.
Dalam sektor semikonduktor yang merupakan kekuatan utama bagi kededua negara, usaha akan digandakan dalam menghubungkan ekosistem teknologi dan inovasi serta merangsang perkongsian awam-swasta menerusi daya utama bersama.
Dialog lebih mendalam juga akan dilancarkan bagi mempererat hubungan dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi lain.
Hubungan erat antara Singapura dengan Belanda bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan daya tahan ekonomi, bahkan juga membuka peluang baru bagi perniagaan dan rakyat kededua negara.
Perkongsian itu diyakini akan terus menyumbang kepada kemakmuran bersama dan menangani cabaran sejagat secara bersama, tambah kenyataan bersama itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg